MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainudin perlu mendapatkan nasihat dari pakar kesihatan dan kumpulan masyarakat sivil tentang cara menangani pendatang asing tanpa izin (Pati), kata Charles Santiago.
Ahli Parlimen Klang itu berkata, Hamzah perlu berfikir sebelum ambil tindakan terhadap mereka ini.
“Ada sebab mengapa anda (Hamzah) perlu berfikir sebelum bercakap.
“Bila tidak (berfikir), anda akan tunjukkan sifat keras kepala dan sombong, ia sesuatu yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Santiago mengulas kenyataan Hamzah yang meminta wakil rakyat menaja dan bantu Pati mendapatkan vaksinasi Covid-19.
Semalam Hamzah berkata, dengan bertindak sebagai penaja, dokumen boleh dikeluarkan dan pendaftaran untuk vaksinasi dibenarkan.
“Ahli Parlimen yang mahu membela hak mereka harus menaja mereka sehingga mereka dapat dokumen. Bawa mereka datang jumpa kita. Dapatkan dokumen dan kemudian kita akan memberi vaksin kepada mereka,” katanya.
Hamzah berkata tujuan menangkap Pati ini bagi mendapatkan vaksinasi, walaupun sebelum ini Khairy Jamaluddin berjanji tidak akan menangkap mereka jika mereka mendapatkan vaksin.
Santiago berkata terdapat sekurang-kurangnya empat juta pekerja tanpa dokumen di negara ini dan 90% daripadanya memasuki Malaysia mengikut undang-undang.
“Wakil rakyat ada tanggung jawab untuk sumbat dalam kepala Hamzah mengenai kepentingan vaksin agar kita dapat capai imuniti kelompok.
“Ironi walaupun pegang jawatan kabinet kanan, Menteri Dalam Negeri tak sedar, selagi semua orang tak diselamatkan, selagi itu kita tak akan selamat.”
Katanya kenyataan itu tidak masuk akal dan akan memudaratkan masyarakat.
“Oleh itu, wahai menteri yang terhormat, tolong jadikan diri anda berguna dan cari jalan untuk dapatkan kepercayaan Pati.
“Dan lepaskan kepada wakil rakyat yang bersolidariti dengan Pati dan orang lain yang rentan.”
Tambah Santiago, mereka yang membantu mengenai isu Pati dan buruh telah mengingatkan kerajaan tentang peranan ejen dan orang tengah menjadikan mereka tidak berdokumen.
“Kami minta orang-orang tidak bertanggungjawab ini disiasat dan didakwa di mahkamah terbuka.
“Sekarang, Hamzah berkata wakil rakyat yang menyokong hak Pati perlu berusaha mendapatkan dokumen untuk pekerja migran tanpa dokumen.
“Bukan sahaja beliau berpihak kepada ejen pekerja, tetapi beliau telah memulakan kempen salah mengenai golongan ini.” – 4 Jun, 2021.
Komen