SUKARELAWAN sosial Ashok Kurmi membantu peminat mudanya melawan koronavirus di kawasan sesak dan kotor di Mumbai menggunakan aksesori yang pelik iaitu kostum badut.
Berpakaian sut badut berwarna merah, muka bercat dan rambut palsu pelangi, eksekutif 37 tahun itu meluangkan hari-harinya membasmi kuman di tempat awam, menyebarkan pelitup muka dan selain memberi kesedaran mengenai Covid-19.
“Pekerja perbandaran memakai alat pakaian perlindungan diri (PPE) yang menakutkan penghuni kawasan kotor dan sesak ini, terutamanya kanak-kanak,” kata Kurmi kepada AFP.
“Dengan bantuan kostum berbeza, saya dapat sebarkan kesedaran tanpa menakut-nakutkan orang ramai. Saya serba sedikit membantu mereka.”
Sejak setahun lalu dia berpakaian seperti Santa Claus, Mickey Mouse, Doraemon dan adiwira Marvel Spiderman. Bagaimanapun dengan menjadi badut lebih mengundang ramai peminat cilik, paling popular setakat ini, katanya.
Dalam lawatan terbaharunya ke kawasan kumuh terbesar di India, Dharavi, sekumpulan kanak-kanak mengikutinya, melaungkan “joker, joker” selain membantunya melakukan sanitasi awam.
Dengan bantuan visual dan poster, Kurmi sabar menunjukkan kepada mereka cara mencuci tangan dan memakai pelitup muka dengan betul.
“Saya bekerja di sebuah syarikat farmaseutikal sejak 15 tahun ini tetapi kerja sosial adalah minat saya,” katanya.
Dia membelanjakan sekitar 15,000 rupee (AS$205) - sepertiga dari gaji bulanannya - untuk membeli kostum, peralatan solek dan sanitasi.
Ketika Mumbai bersiap untuk gelombang koronavirus ketiga, usahanya dilihat membantu dan penting.
Pandemik ini telah meranapkan India, menjangkiti lebih 28 juta penduduk dan membunuh lebih 300,000.
Walaupun ada risiko mengunjungi kawasan berpenduduk padat seperti Dharavi, Kurmi tidak hiraukan.
“Sampai pandemik ini habis, saya akan terus pergi dan tolong orang sebagai badut,” katanya. – AFP, 4 Jun, 2021.
Komen