LEBIH realistik jika hospital swasta membantu kerajaan dalam proses imunisasi kebangsaan berbanding mendapatkan sendiri vaksin pada masa ini, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).
Presidennya, Dr Kuljit Singh berkata hospital swasta sepatutnya fokus kepada bekerjasama dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menggunakan vaksin yang dibekalkan kerajaan terlebih dulu, bagi memastikan matlamat mencapai imuniti kelompok terlaksana.
Beliau berkata ia susunan terbaik pada masa ini berdasarkan kepada ketersediaan vaksin yang terhad dan angka jangkitan virus itu yang membimbangkan serta kadar kebolehjangkitan dalam negara.
“Kami tidak yakin pemerolehan vaksin swasta akan dapat dilakukan pada masa ini kerana vaksin itu belum didaftarkan dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Berdasarkan kepada kekurangan vaksin dan proses membabitkan pendaftaran, peluang nipis untuk hospital swasta mendapatkan sendiri bekalan vaksin Covid-19 secepat mungkin.
“Lebih baik syarikat swasta tunggu dulu jika matlamatnya untuk memperkasakan imuniti kelompok, kecuali ada perubahan dibuat kepada system kelulusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Kuljit mengulas pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang kerajaan negeri dan hospital swasta kini boleh membeli vaksin Covid-19 selain daripada jenis digunakan dalam program imunisasi kebangsaan.
“Pada masa depan jika ada program tahunan imunisasi memberikan dos tambahan untuk Covid-19, hospital swasta akan bersedia dengan pelbagai jenis vaksin.
“Kita pada masa ini menggalakkan orang ramai mendaftar mendapatkan imunisasi menerusi aplikasi MySejahtera.” – 4 Jun, 2021.
Komen