Guan Eng nafi projek terowong Pulau Pinang korup


Looi Sue-Chern

Lim Guan Eng mengatakan laporan The Star semalam mendakwa kerajaan negeri menjual hak tanah bernilai RM3 bilion sebagai tak berasas. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Januari, 2018.

KERAJAAN Pulau Pinang hari ini menafikan laporan berita yang pentadbiran negeri memberikan projek pembinaan terowong bawah laut kepada sebuah syarikat untuk menjual tanah milik negeri bernilai RM3 bilion.

Ketua Menteri Lim Guan Eng juga berkata adalah tidak benar kerajaan negeri membayar kerja tidak siap berkaitan terowong itu.

Lim mengulas laporan bertajuk “Datuk held over RM6bil project” disiarkan akhbar The Star semalam. Laporan itu menyebut yang: “Dipercayai SPRM sedang menilai mengapa kerajaan negeri membenarkan syarikat SPV terowong Pulau Pinang untuk menjual awal hak tanah negeri bernilai RM3 bilion walaupun pembinaannya ditangguhkan selama 4 tahun.”

Laporan itu juga menyatakan: “Penyiasat juga dipercayai sedang menilai kajian reka bentuk terperinci dan kebolehlaksanaan bernilai RM305 juta yang belum disiapkan walaupun bayaran sebanyak RM200 juta sudah dibuat kepada SPV.”

“Buktikan yang kami luluskan penjualan awal hak tanah. Dari mana mereka (akhbar itu) dapat jumlah RM3 bilion?

“Akhbar itu tulis ‘dipercayai’,” kata Lim yang juga menambah akhbar itu “berkemungkinan besar” hanya mendengar cerita dari “cybertroopers” Barisan Nasional.

“Kami belum membayar sesen pun lagi untuk projek terowong itu. Kajian kebolehlaksanaan sudah 92% siap tetapi kami tak pernah bayar sesen.

“Jangan kata kajian kebolehlaksanaan belum siap, tetapi kami (kerajaan negeri) dah bayar. Tiada bayaran pendahuluan. Hanya pendahuluan kerja.

“Boleh awak beritahu saya di mana unsur korupsi dalam kerajaan negeri?” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Lim mengatakan ketika projek itu diberikan kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Consortium Zenith BUCG) melalui proses tender terbuka 2013, keputusan itu diambil oleh jawatankuasa tender dipengerusikan setiausaha negeri.

“Sebelum itu, penilaian permohonan pihak berminat dilakukan oleh pegawai kewangan negeri. Tidak ada (penglibatan) ketua menteri atau exco kerajaan negeri,” katanya lagi. – 11 Januari, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen