Panggil pakar, kerajaan negeri bendung pandemik, kata Ramasamy


"Berdasarkan apa yang kerajaan sekarang boleh dan tak boleh buat, tak ada gunanya darurat. Ia tak relevan pun,” kata timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 4 Jun, 2021.

KERAJAAN Persekutuan perlu mendapatkan bantuan kerajaan negeri dan para pakar bagi menangani pandemik Covid-19, kata P Ramasamy.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata ianya penting kerana Putrajaya gagal menguruskan pandemik walaupun sudah isytihar Darurat dan beberapa jenis perintah kawalan pergerakan (PKP), termasuk pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sekarang ini.

“Jika kerajaan tidak dapat buat apa dengan kekuatan daruratnya, maka sudah sampai masanya pihak lain dipanggil bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa cara lama dan kuno dalam mengurus pandemik sudah berakhir.

“Berdasarkan apa yang kerajaan sekarang boleh dan tak boleh buat, tak ada gunanya darurat. Ia tak relevan pun,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya ketakutan dan kegelisahan rakyat dapat difahami kerana mereka kehilangan orang tersayang sementara yang lain dimasukkan ke hospital.

“Jumlah kes positif meningkat dari hari ke hari. Kerajaan hari ini lumpuh sepenuhnya untuk berbuat apa-apa.”

Tambahnya penting bagi kerajaan untuk mempercepatkan perolehan pelbagai jenis vaksin.

“Tetapi sayangnya, ada jurang besar antara penawaran dan permintaan.

“Kerajaan Persekutuan gagal mendapatkan vaksin dari luar negara ketika PKP pertama, sekurangnya ia boleh membuat pesanan awal vaksin yang diiktiraf.

“Ia gagal sepenuhnya dan sekarang terpaksa menanggung rugi kerana tidak dapat kekang pandemik.”

Ramasamy berkata, jika Putrajaya menghadapi masalah dana, kerajaan persekutuan dapat mengatasinya dengan memanfaatkan sokongan kerajaan negeri dan syarikat swasta, bukan sekadar beri dana tetapi juga membantu dalam aspek lain juga.

“Jika pelbagai tahap kerajaan dengan pelbagai tahap pengetahuan dan kepakaran dikerahkan, keadaan mungkin berbeza.

“Saya pasti banyak syarikat swasta yang ada dana menunggu dipanggil untuk ikut serta dalam usaha mengekang pandemik.”

Semalam Malaysia melaporkan 8,209 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 595,374. Semalam juga 103 kematian dilaporkan, meningkatkan jumlah kematian kepada 3,096. – 4 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen