UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) mengesan 65 kes jangkitan Covid-19 setakat ini dalam kalangan pelajarnya di empat kolej kediaman di kampus Bangi, kata jawatankuasa tindakan krisis universiti.
Mereka didapati positif daripada 407 pelajar yang disaring oleh Pusat Kesihatan UKM, kata jawatankuasa itu dalam pekeliling yang dilihat oleh The Malaysian Insight.
“Kesemua mereka adalah merupakan kontak rapat antara satu sama lain.
“Justeru, kesemua kes ini adalah tergolong dalam kluster baharu iaitu Kluster KPZ,” kata pekeliling yang dikeluarkan oleh Bilik Gerakan Covid-19 UKM.
Tujuh pelajar pula masih belum disaring setakat hari ini, kata jawatankuasa itu.
Nama kluster itu merujuk pada Kolej Pendeta Za’ba, yang merekodkan 62 pelajar positif Covid-19, yang dipercayai mula menular di kediaman itu sejak 27 Mei lalu.
Tiga lagi pelajar masing-masing dari tiga kolej kediaman lain iaitu Ungku Omar, Burhanuddin Helmi dan Ibrahim Yaakub.
Pekeliling sama yang bertarikh hari ini turut dipaparkan di laman Facebook rasmi milik Kolej Pendeta Za’ba.
The Malaysian Insight difahamkan makluman mengenai Kluster KPZ juga dihebahkan oleh kesatuan mahasiswa UKM kepada pelajar melalui saluran Telegram malam tadi.
Semua pelajar yang positif Covid-19 kini diasingkan sementara menunggu arahan lanjut pihak Pusat Kesihatan Daerah Hulu Langat, kata jawatankuasa tindakan krisis.
Pelajar yang negatif saringan pula kini berstatus “kontak rapat” dan sedang menjalani kuarantin wajib selama 10 hari bermula dari tarikh saringan.
“Semua warga UKM diminta untuk kekal tenang memandangkan keadaan di dalam kampus adalah masih terkawal.
“Pihak Pengurusan Universiti akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai sebarang isu yang berkaitan dari semasa ke semasa dan sentiasa proaktif dalam memastikan keselamatan dalam kampus terjamin,” kata pekeliling itu.
Sementara itu, pegawai di Kementerian Pengajian Tinggi memberitahu keputusan sama ada kampus ditutup atau dikenakan kawalan pergerakan lebih ketat tertakluk pada Majlis Keselamatan Negara.
Langkah pengasingan yang dibuat di asrama yang ditetapkan oleh pihak pengurusan universiti juga memadai buat masa ini, kata sumber.
Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan satu kluster pendidikan tinggi baharu, melibatkan pusat pendidikan di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Pusat pendidikan itu juga dipercayai UKM berdasarkan makluman dan nasihat yang dikeluarkan oleh kesatuan mahasiswa malam tadi.
Kluster Jalan Yaakob Latiff 2 setakat semalam mengesan 10 kes positif daripada 39 pelajar yang disaring untuk pra-latihan.
Pusat Perubatan UKM terletak di Jalan Yaakob Latiff. – 3 Jun, 2021.
Komen