UTeM tersenarai antara universiti terbaik Asia


UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tersenarai antara universiti terbaik Asia menerusi penarafan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2021 yang diumumkan semalam.

Naib Canselornya Profesor Dr Raha Abdul Rahim berkata UTeM merupakan antara 15 universiti tempatan yang berjaya tersenarai dalam penarafan tersebut dan UTeM berada pada kedudukan 401+ terbaik di Asia.

Beliau berkata penarafan berkenaan menilai universiti berdasarkan lima kriteria utama iaitu pengajaran (persekitaran pengajaran dan pembelajaran), penyelidikan (penjanaan dan reputasi), sitasi dalam penerbitan, penjanaan daripada industri (pemindahan pengetahuan) dan pengantarabangsaan (pelajar, staf dan penyelidikan).

“Pada kedudukan tersebut UTeM bersama-sama dengan lima universiti tempatan lain iaitu Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Multimedia (MMU) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang juga baharu menyertai senarai penarafan tersebut.

“Kejayaan kali pertama di bawah penarafan itu merupakan antara elemen yang mampu melonjakkan lagi reputasi UTeM sebagai antara universiti terbaik di rantau Asia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan senario semasa dunia, pencapaian ini amat memberangsangkan memandangkan cabaran yang dihadapi semua institusi pengajian tinggi dunia ekoran krisis pandemik Covid-19.

Katanya pencapaian itu merupakan pengiktirafan terhadap peranan dan usaha UTeM yang sentiasa komited membangun dan memperkasakan kualiti pendidikan modal insan dalam negara dan global khususnya di rantau Asia.

Raha berkata justeru beliau berharap UTeM akan terus menyerlahkan momentum pencapaian ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang menerusi pendekatan pelbagai inisiatif strategik baharu yang akan dilaksanakan dari masa ke masa.

“Pendekatan berkenaan selari dengan acuan dan formula Pelan Strategik UTeM ‘Seven Strategic Goals (SSG) 2021-2025’ yang telah dilancarkan pada awal tahun ini,” katanya. – Bernama, 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen