MAHKAMAH Awam Wilayah Hung Yen pada 2 Jun menjatuhkan hukuman lima tahun dan tiga bulan penjara kepada Nguyen Van Long, 36, kerana menyimpan 780 kilogram (kg) sisik tenggiling Afrika (pangolin) yang menjadi barang terlarang di Vietnam.
Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), semasa serbuan di rumah abang tertuduh pada September 2018, Jabatan Polis Alam Sekitar agensi di bawah Kementerian Keselamatan Awam, dengan kerjasama polis tempatan, mengesan 32 karung berisi 780 kg sisik tenggiling yang tidak mempunyai sijil sah.
Long kemudiannya mengakui dia adalah pemilik barang tersebut.
Barang-barang itu termasuk 225 kg sisik tenggiling gergasi dan 555 kg sisik tenggiling putih, bernilai hampir 1.1 bilion VND (AS$48,000).
Tenggiling jenis itu tidak wujud di hutan semula jadi di Vietnam dan tersenarai dalam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES).
Mahkamah turut memerintahkan sisik tenggiling itu dirampas dan dimusnahkan.
Menurut VNA, Timbalan Pengarah Pendidikan Alam Semula Jadi Vietnam (ENV) Bui Thi Ha, berkata ini adalah kes pertama berkaitan sisik tenggiling Afrika yang didakwa di mahkamah sejak lima tahun lalu.
Pada Julai 2020, Mahkamah Awam wilayah juga menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun kepada Nguyen Dinh Hong, dari bandar Tay Son Ha, Tinh, selepas didapati bersalah mengangkut 116 ekor tenggiling. – Bernama, 3 Jun, 2021.
Komen