Warga tentera bakal terima vaksin secara pandu lalu, kata menteri


Warga tentera dan keluarga mereka akan menerima vaksin scara pandu lalu menerusi projek rintis yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2021.

KEM Perdana Sungai Besi di Kuala Lumpur dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu untuk warga tentera dan keluarga mereka menerusi projek rintis yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

“Selepas selesai pemberian vaksin kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka maka barulah akan dibuka kepada orang awam manakala tempat pemberian vaksin itu pula akan diumumkan kemudian.

“Konsep ini akan lebih mudah, selamat dan akan mencepatkan lagi proses pemberian vaksin dan akan dapat mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pelancaran pembinaan Hospital Modular Covid-19 ATM di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai Hospital Modular Covid-19 ATM, Ismail Sabri yang juga menteri kanan (Kluster Keselamatan), berkata hospital itu yang akan dibina berkonsepkan pre-fabricated modules, dijadualkan siap dalam tempoh tiga bulan, memuatkan 64 katil termasuk 16 untuk unit rawatan rapi.

Mengulas isu 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional baru-baru ini, Ismail berkata berkata isu itu telah diselesaikan oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima TUDM Jen Ackbal Abdul Samad pada Selasa dilapor berkata penerbangan 16 pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara di Sarawak pada 11.53 pagi dan hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, pesawat itu dikenalpasti adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20, yang merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi. – Bernama, 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen