SEKATAN pergerakan fasa pertama yang dikuatkuasakan oleh Putrajaya bermula minggu ini mesti dilaksanakan sepenuhnya, kata timbalan presiden Umno Mohamad Hasan, selepas lebih separuh kluster tempat kerja dalam tempoh dua minggu lalu dikesan dalam sektor perkilangan.
Katanya, kelonggaran kepada sektor pembuatan dan perkilangan terpilih tetap mendatangkan risiko jangkitan Covid-19 dan akhirnya bertentangan dengan tujuan sekatan pergerakan.
“Kita telah bereksperimen dengan pelbagai SOP (prosedur operasi standard) selama lebih setahun. Namun kes semakin meningkat dengan pelbagai ‘variant of concern’,” katanya merujuk jenis virus korona yang sedang merebak.
“Penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial ini mesti berlaku secara total kecuali sektor makanan, pertanian dan kesihatan.
“Ia adalah untuk mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan adalah sangat kritikal pada waktu ini,” katanya.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga semalam menegur sekatan pergerakan yang dilaksanakan bukannya menyeluruh seperti yang digambarkan oleh kerajaan.
Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRCC) Kebangsaan minggu lalu melaporkan 62 daripada 115 kluster tempat kerja melibatkan sektor perkilangan, yang dikesan antara 12 hingga 26 Mei.
Susulan jangkitan harian Covid-19 yang mencecah lebih 8,000 pada Khamis lepas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan sekatan pergerakan penuh yang hanya membenarkan operasi sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kemudian melaporkan setakat tengah hari 1 Jun, lebih 95,000 syarikat diberi kebenaran untuk beroperasi.
Semakan pihak berkuasa semalam bagaimanapun mendapati sesetengah syarikat yang dibenar beroperasi sepatutnya tidak masuk dalam kategori yang boleh diberi kebenaran.
Di Butterworth semalam, sebuah kilang membuat topi keledar dikompaun RM10,000, selepas beroperasi dengan mengisytiharkan kepada MITI sebagai kilang pembuatan sarung tangan dan pelitup muka.
Di Serdang, sebuah kilang perabot juga diarah tutup selepas dipercayai memalsukan maklumat operasi semasa memohon izin operasi sebagai ekonomi dan perkhidmatan perlu daripada MITI.
Menurut Mohamad, sektor perkilangan dan pembinaan tidak lebih pentingnya berbanding sektor lain yang rentan dan berisiko lumpuh susulan sekatan pergerakan penuh, yang ditetapkan setakat ini sehingga 14 Jun.
“Semua pihak harus berkorban untuk dua minggu ini. Kita tidak akan dapat melandaikan lekuk jangkitan dengan pelbagai sektor terus beroperasi secara berpilih,” katanya.
Setakat tengah hari semalam, lebih 82,000 pesakit Covid-19 masih dalam rawatan dan pemerhatian termasuk 878 orang di unit rawatan rapi. Semalam juga merekodkan kematian harian tertinggi iaitu 126 orang. – 3 Jun, 2021.
Komen