PUTRAJAYA wajar meluluskan lebih banyak vaksin bagi mempercepatkan proses imunisasi, memandangkan jumlah jangkitan dan kematian akibat virus Covid-19 terus meningkat, kata Mohammed Khaled Nordin.
Naib presiden Umno itu menggesa kerajaan supaya tidak berlengah mempercepatkan kelulusan bersyarat untuk tujuan kecemasan bagi beberapa vaksin lain seperti Sputnik V, Sinopharm, Moderna dan Johnson & Johnson, yang sudah disahkan berkesan.
“Kebanyakan vaksin tersebut telah mendapat kelulusan agensi kawal selia antarabangsa dan telah melalui pelbagai skrutini klinikal yang sangat rumit dan komprehensif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanya tiga vaksin yang diluluskan untuk kegunaan di Malaysia pada masa ini, iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.
Menurut Khaled, Malaysia tidak boleh terlalu optimistik bahawa bekalan vaksin sedia ada mencukupi kerana negara sangat bergantung kepada pembekal luar.
Dengan lebih banyak vaksin diluluskan, bermakna memberi banyak kelebihan kepada negara, tambahnya. Langkah itu sekali gus memastikan negara mempunyai akses kepada pelbagai vaksin lain dalam waktu yang memerlukan.
Selain itu, ia akan mempercepatkan proses pemberian vaksin.
Dengan kemunculan varian-varian baru Covid-19 juga tidak mustahil rakyat Malaysia perlu diberi dos ketiga bagi merangsang imuniti.
“Apatah lagi bila pengeluar seperti AstraZeneca telah mula mengeluarkan vaksin yang telah ditambah baik untuk dan berkesan terhadap varian Beta yang dahulunya dikenali sebagai varian Afrika Selatan.
“Perancangan kesihatan awam kita mesti mengambil kira pendekatan jangka masa panjang. Kita tidak boleh terus dengan strategi ‘firefighting’,” katanya.
Tambah beliau, banyak negara telah menempah bekalan untuk empat tahun akan datang bagi memastikan mereka mempunyai simpanan vaksin mencukupi.
“Tiada siapa boleh meramalkan bilakah pandemik ini akan berakhir dengan sepenuhnya.”
Malaysia hari ini mencatat 7,703 kes baharu Covid-19 dengan 126 kematian. Angka kematian hari ini tertinggi pernah direkodkan sejak negara dilanda pandemik tahun lalu.
Terdahulu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga menggesa Putrajaya meluluskan dan menggunakan semua vaksin untuk memastikan liputan pelalian lebih luas bagi mencapai imuniti kelompok.
Beliau kesal kerana sehingga hari ini terdapat vaksin yang masih belum diluluskan walau keberkesanannya terbukti di negara maju.
“Saya dapati vaksin yang diguna negara lain dan mendapat hasil baik tak payahlah kita buat ujian lain supaya kita nak tentukan, nak tanya soal itu soal ini.
“Kalau ia boleh digunakan di negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat, kita guna sajalah,” katanya dalam satu kenyataan melalui video di YouTube.
Malaysia juga perlu bertindak lebih agresif dengan mengadakan pusat vaksinasi bergerak untuk menemui penerima yang tidak dapat tampil mendapatkan pelalian, katanya.
Sehingga 31 Mei lalu, lebih 12 juta orang mendaftar untuk menerima vaksin. Seramai 2,002,345 sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos. – 2 Jun, 2021.
Komen