MALAYSIA menyaksikan kes kematian akibat Covid-19 tertinggi selepas 126 orang dilaporkan maut.
Jumlah kes kematian baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat virus berkenaan kepada 2,993.
Angka kematian tertinggi yang pernah direkodkan sebelum ini adalah 98 orang pada 29 Mei lalu - menjadikan jumlah kematian hari ini yang pertama melepasi 100 kes.
Kementerian Kesihatan menyifatkan hari ini sebagai detik hitam dengan jumlah kematian, kes aktif yang tinggi dan peningkatan pesakit yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Jumlah pesakit yang menerima rawatan di ICU adalah tertinggi dengan 878 kes, yang mana 441 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kes aktif turut meningkat kepada 82,274 apabila 7,703 kes jangkitan baharu dilaporkan berbanding 5,777 kes pulih dalam tempoh 24 jam.
Ini menjadikan jumlah kes pulih kini 501,898.
10 kes kematian di luar hospital dilaporkan hari ini.
Mangsa paling tua merupakan wanita berumur 98 tahun yang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak. Wanita terbabit menghidap strok.
Sementara itu, dua kematian turut dikategorikan mangsa paling muda - kedua-duanya berusia 27 tahun.
Mangsa pertama lelaki yang mengalami asma dan obesiti meninggal dunia di Hospital Labuan manakala mangsa kedua melibatkan wanita yang meninggal dunia di Hospital Machang.
Selangor menyaksikan kes kematian tertinggi dengan 29 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 18 kes.
Negeri lain yang turut merekodkan kes kematian hari ini adalah Negeri Sembilan (14 kes), Kelantan (12 kes), Kedah (10 kes), Johor (11 kes), Sarawak (4 kes), Labuan (8 kes) dan Pahang (3 kes).
Melaka dan Terengganu masing-masing merekodkan lima kematian manakala Sabah, Perak dan Putrajaya masing-masing melaporkan dua kes kematian.
Pulau Pinang melaporkan satu kes kematian. – 2 Jun, 2021.
Komen