Gaji MB, exco Terengganu dipotong sebulan


Diyana Ibrahim

Kerajaan negeri juga akan memberi tangguhan sewa premis perniagaan milik kerajaan negeri, badan berkanun dan PBT untuk bulan Jun dan Julai ini, kata menteri besar Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

MENTERI Besar Terangganu Ahmad Samsuri Mokhtar bersama 10 barisan exco akan menyakurkan sebulan gaji mereka ke dalam tabung Covid-19.

Beliau berkata penjawat awam di negeri itu turut bersetuju menyumbang melalui potongan elaun untuk disalurkan dalam tabung Covid-19.

“Sebulan gaji menteri besar dan exco kerajaan negeri akan dipotong dan dimasukkan ke dalam tabung Covid-19 Terengganu. Penjawat awam juga turut bersama menyumbang melalui potongan elaun mereka.  

“Setiap usaha kerajaan negeri adalah sebagai nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat yang terkesan ketika ini,” kata Samsuri dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan memberi tangguhan sewa premis perniagaan milik kerajaan negeri, badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk Jun dan Julai 2021.  

“Ianya tertakluk kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi kadar sewaan RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi,” katanya.

Menteri Besar itu berkata kerajaan negeri turut memberi pilihan kepada peminjam Yayasan Terengganu berpendapatan bawah RM2,500 untuk memohon moratorium selama tiga bulan.

Tambahnya kerajaan negeri juga akan melancarkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 Berkat 3.0 secara bersasar.

Ia melibatkan RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan RM6.4 juta yang akan diagihkan secara dua fasa, katanya.

Beliau berkata keputusan untuk pengagihan peruntukan bantuan Covid-19 diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dengan menjangka kemungkinan jika sekatan pergerakan penuh dilanjutkan.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh (PKP) melibatkan penutupan sektor sosial dan ekonomi selama 14 hari sehingga 14 Jun depan.

Isnin lepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan RM40 bilion selain tiga bulan gaji barisan Kabinet disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19. – 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen