Pemerkasa Plus untuk B40 tak cukup, kata Najib


Jalan Tunku Abdul Rahman yang selalunya sibuk bertukar lengang kerana sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun. Hari ini, Najib berkata, bantuan tunai kerajaan untuk B40 perlu dinaikkan, malah kerajaan perlu guna lebih duit KWAN untuk bantu rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Jun, 2021.

JUMLAH bantuan tunai untuk B40 dan isi rumah di bawah program bantuan kewangan terkini Putrajaya tidak cukup untuk menghadapi sekatan pergerakan berfasa enam minggu ini, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

RM2.1 bilion diperuntukkan untuk bantuan tunai, atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) perlu dinaikkan menjadi RM6.3 bilion, katanya dalam satu hantaran Facebook, mengkritik kerajaan Perikatan Nasional.

Bekas ketua Barisan Nasional itu berkata jumlah perlu dibayar juga tidak masuk akal untuk perintah kawalan pergerakan ketiga (PKP 3.0) yang akan berlangsung sekurang-kurangnya satu setengah bulan, memandangkan negara telah pun mengharungi PKP 2.0 pada Januari lepas.

Tidak ada bantuan kewangan yang diberikan waktu itu, kata Najib.

“Adakah bantuan RM500 bagi sebuah keluarga B40 dengan sekurang-kurangnya 3 ahli keluarga yang dibayar hanya pada akhir bulan Jun cukup untuk menghadapi tempoh lockdown satu setengah bulan lamanya?

“Adakah bantuan hanya RM100 yang dibayar setelah lockdown berlangsung 1 bulan cukup untuk orang bujang?

“Lebih-lebih lagi, bantuan ini adalah setelah mereka menghadapi PKP 2.O+PKP 3.0/3.1 selama lima bulan dan kini perlu menghadapi lockdown satu setengah bulan lagi,” kata ahli Parlimen Pekan itu.

Dalam pakej bantuan Pemerkasa Plus diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin, bantuan tunai sebanyak RM500 akan diberikan kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan kurang dari RM2,500; RM300 kepada isi rumah berpendapatan antara RM2,501-RM5,000 sebulan; dan, RM100 untuk individu bujang berpendapatan kurang dari RM2,500.

Pembayaran akan dibuat pada akhir Jun.

Najib berkata jumlah ini perlu dinaikkan dari RM500 menjadi RM1,500; RM300 hingga RM500, dan RM100 untuk individu bujang dinaikkan kepada RM300.

“Jumlah ini lebih bermakna untuk golongan B40 bagi menghadapi total lockdown selama satu setengah bulan,” katanya.

PKP 3.0 telah diperketat malah kini sekatan pergerakan penuh dilaksanakan, sama seperti PKP 1.0 tahun lalu. 

Dijadual enam minggu bermula 1 Jun, fasa pertama sekatan penuh ini akan diadakan selama dua minggu sehingga 14 Jun, diikuti sekatan yang sedikit longgar untuk empat minggu berikutnya, bergantung pada jumlah kes harian Covid-19.

Najib berkata, kerajaan harus mengguna lebih banyak wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk memberikan bantuan tunai.

“Korek lagi RM4.2 bilion dari tahun KWAN supaya jumlah bantuan BPR naik dari RM2.1 bilion ke RM6.3 bilion untuk naikkan jumlah bayaran BPR.” – 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen