MB, exco Perak sumbang 3 bulan gaji kepada Tabung Bencana Covid-19


Langkah ini diambil bagi menghadapi impak pandemik, kata Menteri Besar Perak Saarani Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

MENTERI Besar Perak Saarani Mohamad dan 10 exco hari ini bersetuju untuk menyumbang tiga bulan gaji bermula Jun kepada Tabung Bencana Covid-19.

Bercakap dalam satu sidang media secara maya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri, Saarani berkata ia antara langkah yang diputuskan selain meluluskan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera 2021 bernilai RM19.5 juta.

Menurut beliau, langkah ini diambil bagi menghadapi impak pandemik Covid-19 termasuk penutupan sektor sosial dan ekonomi yang dilaksanakan selama dua minggu sehingga 14 Jun ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 31 Mei lepas, mengumumkan semua menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji masing-masing selama tiga bulan mulai Jun sepertimana telah diamalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas.

Ia diumumkan dalam perutusan khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) PKP 3.0 yang antara lain menurut beliau, gaji itu akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana bagi membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19. – Bernama, 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen