Pajak gadai suram, Ar-Rahnu rancak


Noel Achariam

Pajak gadai konvensional tidak mengharapkan kenaikan pelanggan walaupun dengan PKP penuh untuk mengekang penyebaran Covid-19 namun meramalkan pungutan akan sangat rendah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Jun, 2021.

BERHADAPAN dengan sekatan pergerakan lagi, pemegang pajak gadai konvensional sedang giat bertahan walaupun mengalami kerugian selepas kutipan mereka jatuh 50% sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Januari lalu.

Walaupun pemegang pajak gadai dibenarkan beroperasi di bawah PKP penuh dari 1 hingga 14 Jun, orang ramai sudah kurang ke kedai pajak gadai konvensional untuk tukar barang berharga mereka dengan wang tunai kerana persaingan dari Ar-Rahnu, atau pajak gadai Islam, yang termanya lebih mesra pelanggan.

Pajak gadai konvensional tidak mengharapkan kenaikan pelanggan walaupun dengan PKP penuh untuk mengekang penyebaran Covid-19 namun meramalkan pungutan akan sangat rendah.

Presiden Persatuan Tuan Punya Pajak Gadai Malaysia, Tan Ho Keng berkata, kutipan telah menurun sebanyak 50% sejak Januari. Sebaliknya, orang hanya memperbaharui resit gadai mereka.

“Jika tidak ada perolehan macam mana kita nak beroperasi?

“Kami perlukan perolehan untuk dapatkan wang tunai. Semua anggota kami rugi antara 20% hingga 30%,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tan berkata jika pelanggan menggadaikan barang mereka dengan nilai RM1,000, mereka boleh memperbaharui gadaian mereka sebelum luput pada bulan keenam dengan kadar RM120 selama enam bulan lagi, menjadi 2% sebulan.

“Di sinilah kita berhadapan kerugian sebab kalau mereka (pelanggan) terus memperbaharui resit mereka, maka tidak ada pengembalian wang.

“Ini akan mempengaruhi aliran tunai untuk pelanggan lain. Terdapat lebih banyak pembaharuan berbanding pembayaran balik tunai.”

Semua 500 anggota persatuan itu menghadapi masalah yang sama, kata Tan.

“Semua orang berhadapan kesulitan. Setakat ini tidak ada yang terpaksa tutup kedai, tapi kami jangka mereka yang tidak berapa baik akan tutup nanti. Ini disebabkan lokasi dan pelanggan kurang.

“Anggota kami masih belum potong gaji pekerja, tapi ada yang terpaksa kurangkan jumlah pekerja untuk bertahan.”

Di mana pemegang pajak gadai konvensional melanjutkan pajakan enam bulan yang boleh diperbaharui dengan bayaran, tempoh pajakan Ar Rahnu adalah 18 bulan, dan tanpa bayaran pemprosesan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Jun, 2021.

Pajak gadai Islam, bagaimanapun, menjangka perniagaannya meningkat, kata pengurus cawangan Ar-Rahnu Petaling Jaya, Khairunissa Zulkifle.

Perniagaan meningkat dalam dua bulan terakhir, sebahagiannya disebabkan oleh Hari Raya dan ketika orang membuat spekulasi PKP semasa akan dilanjut beberapa minggu lagi.

“Jadi pelanggan bersedia untuk PKP penuh dan kami jangka dapat ramai pelanggan,” kata Khairunissa, yang mengendalikan cawangan di Jalan Othman.

Khairunissa berkata, 11 gerai Ar Rahnu di sekitar Lembah Klang juga mendapat jumlah pelanggan yang tinggi.

“Pelanggan kerap datang ke Ar-Rahnu sebab kami ikut Syariah dan bayaran kami jauh lebih murah daripada kedai pajak gadai konvensional.

“Ramai orang bukan Islam juga datang ke sini kerana harganya murah,” katanya.

Pajak gadai Islam, bagaimanapun, menjangka perniagaannya meningkat, kata pengurus cawangan Ar-Rahnu Petaling Jaya, Khairunissa Zulkifle. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Jun, 2021.

Di mana pemegang pajak gadai konvensional melanjutkan pajakan enam bulan yang boleh diperbaharui dengan bayaran, tempoh pajakan Ar Rahnu adalah 18 bulan, dan tanpa bayaran pemprosesan.

Tambah Khairunissa syarikat pajak gadai Islam tidak akan menggadaikan barang berharga pelanggan dan akan memilih jalan rundingan terlebih dahulu.

“Kalau mereka sukar bayar, kita boleh runding. Kami beri mereka 18 bulan untuk ambil kembali barang berharga mereka.

“Jika mereka tak dapat berbuat demikian, maka kami akan buat perjanjian baru dengan mereka, iaitu menggadaikan barang itu lagi dan membiayai semula,” katanya.

Pada April, sepanjang Ramadan, premisnya mendapat sekitar 400 pelanggan.

“Ia adalah peningkatan perniagaan sebanyak 15%. Pada bulan Mei, kami ada lebih dari 300 pelanggan. “

Khairunissa berkata, sepanjang PKP penuh ini, Ar-Rahnu hanya akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang, dan mengehadkan pelanggan kepada 50 orang setiap hari bagi mematuhi prosedur operasi standard untuk memerangi penularan Covid-19.

“Kita kena tutup dan meminta mereka datang balik esok.” – 3 Jun, 2021.

Perniagaan meningkat dalam dua bulan terakhir, sebahagiannya disebabkan oleh Hari Raya dan ketika orang membuat spekulasi PKP semasa akan dilanjut beberapa minggu lagi, kata pengurus cawangan Ar-Rahnu Petaling Jaya, Khairunissa Zulkifle. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen