Angka korban Covid-19 cecah 300 orang di Sarawak


Sebanyak enam kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negeri itu mencecah 300 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021.

SEORANG wanita berusia 27 tahun menjadi mangsa korban ke-300 jangkitan Covid-19 di Sarawak. 

Wanita rakyat tempatan itu adalah antara enam kes kematian dalam tempoh 24 jam lepas yang dilaporkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini.

JPBN  menerusi kenyataan menyatakan wanita itu mendapatkan rawatan awal di sebuah hospital swasta di Sibu kerana mengalami gejala batuk serta kesukaran bernafas dan dikesan positif Covid-19 pada 29 Mei hasil saringan ujian ‘Rapid Molecular’.

“Kes dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan selanjutnya dan keadaan kesihatan kes semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mei. Kes ini mempunyai ko-morbid penyakit asthma,” menurut kenyataan itu. 

Lima kes kematian lain yang dicatatkan ialah masing-masing satu di Hospital Bintulu, Hospital Mukah, Hospital Sibu, Hospital Serian dan Hospital Umum Sarawak di Kuching, selain 703 kes jangkitan baharu dilaporkan di negeri ini, menjadikan keseluruhannya 48,032 kes dicatatkan sehingga kini.

Sementara itu, JPBN mengisytiharkan 10 lokaliti diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan empat lokaliti di Bintulu dan masing-masing dua lokaliti di Samarahan, Mukah dan Asajaya.

Bagi Bintulu, PKPD dari 29 Mei hingga 11 Jun dilaksanakan di rumah sewa atas kedai DD Mart di Sungai Plan dan kuarters pekerja Almabumi Plantation di Ladang Bukit, Ulu Sebauh, manakala PKPD di Foreign Lodge, Blok E9 dan Local Lodge LL4, Samalaju Industrial Park bermula 30 Mei hingga 12 Jun.

Di Samarahan, PKPD dilaksanakan dari 28 Mei hingga 10 Jun di Kampung Sindang Baru dan 2 Jun hingga 15 Jun di Kampung Stakan Melayu, manakala PKPD di Mukah melibatkan Kampung Bunut dan Rh. Undum Anak Anchih di Sungai Duan yang kedua-duanya dari 3 Jun hingga 16 Jun.

Selain itu, PKPD di Kampung Tanjung Kelaso Asajaya bermula 28 Mei hingga 10 Jun manakala PKPD di Kampung Darat, Gerigat, Kabong pula akan bermula esok hingga 15 Jun.

JPBN juga memaklumkan pelanjutan PKPD di tiga kawasan iaitu Rh. Tiut anak Usit, Sungai Setulan dan Jalan Pesisir Kuala Tatau di daerah Tatau hingga 12 Jun, Rh. Resa Empelanjau di Lingga, Sri Aman hingga 14 Jun dan Rh. Wun Anak Ering di Tanjung Manis hingga 16 Jun. – Bernama, 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen