Adun saran klinik perubatan tradisional dibuka semasa sekatan penuh


Chan Kok Leong

Adun Perak Howard Lee mahu MKN menyemak semula SOP bagi membolehkan klinik perubatan tradisional dan komplementari (TCM) beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh. – Gambar DAP, 30 Mei, 2021.

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) perlu menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan klinik perubatan tradisional dan komplementari (TCM) beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh, kata Adun Perak Howard Lee.

“Perkhidmatan TCM adalah komponen penting dalam perkhidmatan kesihatan di mana ramai pesakit menderita sakit kronik, strok dan penyakit buah pinggang.

“Sebilangan besar daripada mereka memerlukan perkhidmatan TCM dan rawatan ini berterusan,” kata Adun Pasir Pinji dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata bahawa penutupan sementara perkhidmatan TCM semasa tempoh ini adalah tidak adil bagi pesakit dan bagi 15,000 pengamal TCM.

“Penutupan perkhidmatan TCM secara tiba-tiba hanya akan menghentikan rutin rawatan mereka,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan di laman webnya hari ini bahawa perkhidmatan TCM tidak akan dibenarkan berfungsi semasa sekatan pergerakan penuh dari 1 Jun sehingga 14 Jun.

KKM berkata klinik TCM pada masa ini tidak disenaraikan dalam senarai perkhidmatan penting MKN tetapi Lee berkata bahawa tidak adil bagi pesakit dan pengamal.

“Ramai pengamal sudah diberi vaksin sepenuhnya dan selama setahun terakhir, mereka terbiasa dnegan SOP Covid-19 ketika menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata KKM sudah mengiktiraf fungsi TCM dan memulakan pembahagian di bawah kementerian pada Januari 2006.

“Sehingga Januari 2020, ada 15 hospital KKM yang menawarkan TCM. Antara rawatan yang diberikan adalah akupuntur, urut tradisional dan terapi herba untuk pesakit kanser,” katanya.

Lee berharap MKN akan menyemak semula senarai perkhidmatannya pentingnya merangkumi perkhidmatan TCM. – 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen