1 varian membimbangkan Covid-19 di hampir setiap negeri, kata MKN


Kementerian Kesihatan Malaysia mahu orang ramai mengambil perhatian serius terhadap situasi varian membimbangkan yang dikesan di setiap negeri di negara ini.

TERDAPAT sekurang-kurangnya satu varian yang membimbangkan (VOC) di hampir setiap negeri di negara ini semalam, kata Majlis Keselamatan Nasional (MKN) menyebut data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam carta yang dikeluarkan menerusi Telegram, varian Afrika Selatan (B.1.351) dikesan di 10 negeri dengan 89 kes.

Varian United Kingdom (B.1.1.7) ditemui di tiga negeri dengan sembilan kes.

Varian dari India, B.1.617 ditemui di empat negeri dengan enam kes.

Menurut carta, negeri-negeri dengan penduduk yang ramai seperti Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai ketiga-tiga VOC.

“KKM tidak menolak kemungkinan sudahpun berlaku penularan lebih meluas dalam komuniti bagi sekurang-kurangnya satu jenis VOC di semua negeri di Malaysia.

“Memandangkan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi, situasi ini perlu diambil serius oleh setiap individu,” tambah MKN.

Carta juga menunjukkan dua varian yang perlu mendapat perhatian (VOI): strain Nigeria (B.1.525) dan varian Filipina (P.3).

Tiga kes strain Nigeria dijumpai di Sarawak dan Kuala Lumpur sementara 12 kes strain Filipina dijumpai Sarawak.

Secara kumulatif, terdapat 119 kes VOC dan VOI pada 31 Mei.

VOI dapat dikategorikan semula sebagai VOC jika didapati lebih menular menyebabkan gejala yang lebih teruk.

Malaysia kini mempunyai hampir 80,000 kes aktif selepas mencatat lebij 7,000 jangkitan harian sepanjang seminggu terakhir dan meningkat pada Sabtu dengan 9,020 kes serta jumlah kematian harian tertinggi seramai 98 orang.

Lebih 2,700 orang meninggal dunia akibat koronovirus sehingga kini.

Semalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan sistem penamaan baharu untuk varian Covid-19 menggunakan abjad Yunani.

Varian UK (B.1.1.7) sekarang disebut “Alpha”, strain Afrika Selatan (B.1.351) adalah “Beta”, strain dari India (B.1.617.1) adalah “Kappa”, sementara B.1.617.2 adalah “Delta”.

Strain B.1.525 yang terdapat di Nigeria dan negara-negara lain adalah “Eta” dan strain Filipina atau P.3 adalah “Theta”.  – 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen