Lebih 10,000 gagal hadir terima vaksin di Terengganu, kata exco


Diyana Ibrahim

Seramai 76,919 orang telah divaksinkan di 14 lokasi PPV di seluruh Terengganu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021.

LUPA tarikh janji temu dan tiada kenderaan menjadi alasan utama diberikan lebih 10,000 rakyat Terengganu yang gagal hadir menerima vaksin,  kata exco hal ehwal kesihatan Alias Razak.

Exco kerajaan, perumahan dan alam sekitar itu berkata sejumlah besar daripada penerima yang gagal hadir untuk mendapat perlindungan tersebut juga terdiri daripada warga emas.

“Terengganu antara negeri yang merekodkan jumlah kehadiran yang rendah. Setakat ini yang kita anggarkan lebih dari 10,000 yang gagal menghadiri janji temu suntikan vaksin Covid-19,

“Kebanyakan memberi alasan terlupa tarikh dalam aplikasi MySejahtera dan tidak ada kenderaan untuk pergi temu janji suntikan Covid-19,” katanya dalam sidang media.

Alias juga mempengerusikan Jawatankuasa Vaksinasi PAS Terengganu yang menggerakkan usaha mendaftarkan rakyat di setiap kawasan DUN negeri itu.

Laporan lidah parti tersebut, Harakah semalam menyebut jawatankuasa juga akan mengurus penerima suntikan vaksin yang bermasalah di setiap kawasan.

Melalui program itu, semua Pusat Khidmat DUN dilaporkan akan menyediakan kenderaan bagi membawa penerima suntikan vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan kembali ke rumah.

Laporan itu menyebut, sejumlah 339,233 individu telah berdaftar untuk vaksinasi sehingga 30 Mei.

Daripada jumlah itu, sebanyak 40.30 peratus dan 76,919 orang telah divaksinkan di 14 lokasi PPV di seluruh negeri.

Pada masa sama beliau berkata kerajaan negeri turut bercadang untuk menjadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) sebagai wad tambahan.

Katanya ia bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat sehingga penggunaan katil di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hampir penuh.

“Petang ini kita akan dimaklumkan situasi sebenar katil di Terengganu dan kalau kritikal kita terpaksa menjadikan PKRC berkenaan sebagai wad Covid-19.

Tambahnya Kerajaan negeri bakal  menambah lebih banyak PKRC susulan peningkatan kes positif harian. – 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen