Kes terus meningkat dengan 7,105 kes baharu Covid-19


Ravin Palanisamy

Hari pertama sekatan pergerakan penuh dikuatkuasa, jalan kembali kosong di Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Jun, 2021.

SETELAH dua hari kes harian menurun, negara hari ini melaporkan sebanyak 7,105 kes baharu Covid-19 dalam 24 jam terakhir, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan melaporkan 6,999 kes dan 6,824 kes pada Isnin, memberi sedikit kelegaan kepada rakyat kerana sebelum itu kes berada dalam lingkungan 8,000 hingga 9,000.

Mengenai jumlah terkini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata, Selangor sekali lagi menjadi negeri dengan paling banyak kes kes harian dengan 2,068 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 817 kes dan Sarawak dengan 703 kes.

Ini merupakan hari ke-40 berturut-turut Selangor melaporkan kes paling banyak mengikut negeri.

Perlis satu-satunya negeri yang tidak mencatat sebarang kes dalam 24 jam terakhir.

Jumlah beban kes negara kini berjumlah 579,462, di mana 188,994 kes di Selangor sahaja, yang bermaksud sama dengan 32.6% daripada jumlah kes dilaporkan di seluruh negara.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata pada 31 Mei, sebanyak 3,008,429 dos vaksin sudah diberikan.

Beliau berkata ini adalah penambahan 95,420 dos berbanding 30 Mei, iaitu 2,913,009 dos.

Adham berkata dari angka terbaru, 1,927,861 orang menerima dos pertama, sementara 1,080,568 individu menerima kedua-dua dos.

Tambahnya, seramai 12,267,350 orang sudah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen