PLATFORM penjagaan kesihatan dalam talian BookDoc mengatakan surat menggunakan namanya yang menawarkan vaksinasi Covid-19 kepada syarikat dengan harga RM100 setiap suntikan adalah palsu.
Jurucakap syarikat itu berkata tidak ada surat dikeluarkan pihak pengurusan.
“Hantaran (yang tular) atau surat itu bukan dari pihak kami.
“Kami masih menyiasat surat yang tular itu,” kata jurucakap itu, yang enggan disebut namanya kepada The Malaysian Insight.
Sepucuk surat dengan kepala surat BookDoc telah dikongsi di media sosial menyatakan ia telah dilantik kerajaan sebagai penyedia perkhidmatan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Surat itu, yang menawarkan vaksin Covid-19 AstraZeneca dengan harga RM100 kepada syarikat untuk pekerjanya, disertakan tanda tangan pengasas BookDoc, Chevy Beh Yen San, selain gambarnya bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang juga menteri penyelaras PICK.
Jurucakap BookDoc itu menambah, tidak ada program vaksinasi di tempat yang ditawarkan oleh syarikat itu.
Mengenai Covid-19, ia hanya menawarkan ujian di lokasi atau ujian jumpa terus.
Sementara itu, Beh telah membuat laporan polis mengenai penyalahgunaan nama syarikat, nama dan gambarnya, selain menambah surat itu palsu.
Laporan yang dilihat The Malaysian Insight itu dibuat semalam di balai polis Damansara di Petaling Jaya.
“Saya percaya seseorang telah menyalahgunakan foto dan tandatangan saya untuk agenda mereka sendiri dan untuk memfitnah syarikat saya,” kata Beh dalam laporan itu. – 1 Jun, 2021.
Komen