Azalina seru politikus utamakan rakyat, negara


Alfian Z.M. Tahir

Azalina turut menegaskan pentingnya Parlimen bersidang agar rakyat tahu negara ini proaktif dan berfikiran maju. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021.

POLITIKUS wajib fokus kepada rakyat dan mendahulukan negara daripada asyik mencari kepentingan politik, kata timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said, mendesak para ahli Parlimen bersatu memerangi pandemik.

Bercakap di webinar malam tadi, Azalina, yang juga ahli Parlimen Pengerang berkata, politikus perlu terima dan sumbang kritikan agar kita sama-sama dapat memerangi pandemik Covid-19 ini.

“Seolah-olah bila hal politik, semua tak boleh – kawan-kawan tak boleh, bercakap pun tak boleh, malah nak telefon pun sesuatu yang menakutkan buat semua parti politik. Ini bukan cara Malaysia,” katanya.

Azalina menegaskan Parlimen perlu dibenarkan bersidang semula dan perang antara parti-parti politik boleh menunjukkan kepada rakyat ini negara demokrasi dan sedang maju ke hadapan.

Dalam webinar sama, ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata kerajaan perlu memasukkan sama blok pembangkang dalam usaha memerangi Covid-19 kerana Putrajaya masih belum dapat menangani pandemik ini dengan bagus.

“Rapat dengan pembangkang untuk cari jalan penyelesaian. Putrajaya perlu benarkan pembangkang bagi cadangan untuk tolong bendung pandemik ini,” kata Wong. – 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen