LEBIH 800,000 penjawat awam bersolidariti dalam mendepani pandemik Covid-19 dengan menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana bagi tempoh tiga bulan melalui pengurangan elaun berdasarkan gred perkhidmatan.
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang mengumumkan perkara berkenaan hari ini berkata sumbangan daripada penjawat awam terbabit yang tidak melibatkan petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 itu, dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.
“Sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana,” katanya.
Penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu adalah 50 peratus bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A ke atas, JUSA B sebanyak 20%, JUSA C sebanyak 10%, Gred 44 hingga 56 sebanyak 5% melibatkan ITK, manakala RM10 daripada ITKA bagi Gred 29 hingga 41.
Beliau berkata surat edaran dan perincian pelaksanaan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Sumbangan ini tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19 di negara kita.
“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap ahli perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan bernilai RM40 bilion sebagai tambahan kepada program terdahulu.
uhyiddin turut mengumumkan setiap menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun yang mana gaji tidak diambil itu disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.
“Marilah kita meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan kita berjaya mengharungi tempoh yang mencabar ini,” kata Zuki. – Bernama, 1 Jun, 2021.
Komen