Membazir buat sanitasi skala besar, kata pakar penyakit berjangkit


Para pakar penyakit berjangkit berkata sanitasi awam tidak berdasarkan hujah saintifik, malah menafikan dakwaan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berkata langkah sanitasi awam disyorkan oleh WHO dan CDC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021.

KETIKA kerajaan terus menerus melaksanakan proses sanitasi berskala besar, para pakar penyakit berjangkit menggunakan media sosial membangkang dan menjelaskan betapa tidak saintifiknya proses itu.

Doktor penyakit berjangkit Universiti Malaya Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, lebih bagus dana itu digunakan untuk keperluan yang lebih mendesak dan bersasar.

Melalui Twitter beliau turut berkongsi rencana dari Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang tidak mengesyorkan bahan kimia disembur bagi membasmi kuman di kawasan komuniti. Ini juga akan menimbulkan risiko kerengsaan pada kulit, mata dan sistem pernafasan.

“Dalam banyak keadaan, membersihkan permukaan (dengan menggunakan sabun atau bahan cuci sahaja sudah cukup untuk mengurangkan SAR-CoV-2.

“Pembasmian kuman disyorkan dalam kawasan bertutup di mana ada kes yang disyaki/ disahkan dalam 24 jam terakhir, bila adanya kemungkinan virus,” tulis Dr Adeeba.

Berbanding membasmi kuman di tempat awam, dana dapat disalurkan dengan lebih bagus ke sumber lain seperti peralatan pelindung diri (PPE), ventilator dan makanan untuk sukarelawan, tambahnya.

Sepanjang pandemik Covid-19, Dr Adeeba, yang baru-baru ini dilantik sebagai anggota majlis sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerap memberi pandangan tentang kurang saintifiknya sanitasi awam berskala besar .

Bagaimanapun, pendapat ini menimbulkan reaksi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Mohammad Hamdan Wahid, di mana dua hari lepas menafikan dakwaan pembaziran wang dan meminta Dr Adeeba berjumpa dengannya mengenai perkara itu.

Hamdan berkata, sejak Mac tahun lepas, sebanyak 25,000 pembasmian kuman telah dibuat.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekali lagi mengumumkan sanitasi awam secara besar-besaran beberapa hari lalu, menjelang sekatan pergerakan penuh seluruh negara yang bermula hari ini.

Selain Dr Adeeba, pakar perubatan lain yang tidak setuju dengan kaedah tersebut termasuk bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Dr Lokman Hakim Sulaiman, yang berkata, salah untuk pihak JBPM mendakwa sanitasi awam dicadangkan WHO dan CDC.

Sebaliknya, CDC secara khusus menyatakan tidak perlu dan tidak berkesan untuk menyemburkan produk pembersih atau pembasmi kuman di pejalan kaki, jalan atau tanah berturap, kata Dr Lokman dalam catatan Facebook, di mana beliau melampirkan nasihat CDC mengenai perkara itu.

“Ini sama sekali bertentangan dengan SOP kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (mengenai pembasmian kuman). Saya ingin tahu, dokumen CDC dan WHO yang mana dimaksudkan oleh beliau?

“Kita persoal langkah sanitasi di kawasan awam kerana ia sia-sia dan tidak disokong oleh sains mengenai bagaimana Covid-19 tersebar,” kata Dr Lokman. – 1 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen