MKN larang kanak-kanak keluar sepanjang PKP penuh


Ravin Palanisamy

Garis panduan baharu itu menyatakan kanak-kanak 12 tahun ke bawah dilarang berada di tempat dan kemudahan awam kecuali atas beberapa sebab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2021.

KANAK-KANAK berumur 12 tahun ke bawah kini tidak dibenarkan berada di tempat awam di bawah sekatan pergerakan penuh, umum Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu diumumkan hari ini.

Garis panduan baharu itu menyatakan kanak-kanak dilarang berada di tempat dan kemudahan awam kecuali atas beberapa sebab.

Pengecualian disenaraikan MKN itu adalah berkaitan tujuan kecemasan, rawatan, pendidikan dan senaman.

Tahap Satu sekatan pergerakan penuh bermula hari ini dan dijadual tamat pada 14 Jun nanti.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata sebanyak 82,341 daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 adalah mereka yang berumur bawah 18 tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 19,851 kes melibatkan mereka kanak-kanak empat tahun ke bawah, 8,237 kes melibatkan kanak-kanak antara lima hingga enam tahun dan 26,851 melibatkan usia tujuh dan 12 tahun.

Jumlah kes tertinggi dikesan dalam mereka yang berumur 13 hingga 17 tahun, dilaporkan sebanyak 27,402 kes.

Katanya semua kes ini berada di bawah kategori 1, 2 dan 3, selain menambah, tidak ada yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) atau unit rawatan kritikal (CCU).

Adham turut menekankan, walaupun tidak ada peruntukan di bawah  Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membenarkan denda dikenakan kepada ibu bapa kerana mendedahkan anak mereka kepada risiko Covid-19, Adham berkata setakat ini kertas siasatan masih boleh dibuka.

Semalam, negara melaporkan 6,824 kes baharu. Kes aktif Covid-19 berada hampir mencecah 80,000, dengan jumlah dilaporkan setakat ini sebanyak 79,523. – 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen