MALAYSIA melaporkan rekod tertinggi 851 pesakit Covid-19 dalam unit rawatan rapi (ICU) hari ini dengan kes aktif hampir mencecah angka 80,000, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Dengan 6,824 jumlah kes baharu berbanding 5,251 kes pulih, kes aktif berjumlah 79,523 hanya kurang 477 dari angka 80,000.
Jumlah pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini menyaksikan peningkatan sebanyak lima pesakit daripada angka semalam iaitu 846 orang.
Pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat sebanyak tiga orang menjadi 422 hari ini.
Selain itu Noor Hisham berkata 67 kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 2,796 orang.
Jumlah kematian hari ini adalah yang ketiga tertinggi sejak wabak bermula.
Kematian tertinggi dilaporkan pada 29 Mei dengan 98 orang meninggal dunia akibat wabak ini.
Daripada 67 kes kematian yang dilaporkan hari ini, tiga membabitkan bukan warganegara.
Mengikut negeri pula, Selangor merekod angka kematian tertinggi dengan 15 kes, diikuti Johor dengan 12 kes.
Negeri-negeri yang melaporkan kematian adalah Sarawak (8 kes); Kedah (6); Negeri Sembilan dan Kelantan (masing-masing 5 kes); Pahang (4 kes); Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Melaka (masing-masing 3 kes); Sabah (2 kes); serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1 kes).
Noor Hisham juga berkata daripada 67 kematian hari ini, lapan kes di luar hospital (brought in dead - BID). Labuan melaporkan dua kes, diikuti masing-masing satu kes di Selangor, Kelantan, Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Johor. – 31 Mei, 2021.
Komen