PASUKAN Petugas Covid-19 sedang berusaha mengerahkan trak vaksinasi bergerak di Kuala Lumpur bagi meningkatkan program imunisasi, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata program trak bergerak mudah alih akan dilaksanakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan tapak pembinaan di ibu kota.
Ini dipersetujui selepas perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, katanya.
“Trak bergerak akan digunakan untuk menjalankan program vaksinasi di kawasan mudah berjangkit.
“Jadi satu projek perintis program vaksinasi trak bergerak akan dilakukan di PPR dan tapak pembinaan yang beroperasi dalam tempoh sekatan penuh ini,” katanya pada sidang media mingguannya bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengenai usaha imunisasi hari ini.
Annuar sebelum ini berkata pihaknya menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai di Kuala Lumpur menjelang Oktober ini apabila 80 peratus atau hampir dua juta penduduk ibu kota menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya.
Katanya, sebanyak tujuh trak vaksin bergerak dan tujuh klinik swasta akan terlibat dalam program vaksinasi percuma ini, dengan purata 4,000 hingga 5,000 dos sehari.
Program itu pula akan digerakkan di kawasan perumahan awam, projek perumahan rakyat (PPR), kampung tradisional, katanya minggu lalu.
Khairy yang merupakan menteri sains, teknologi dan inovasi tidak secara khusus menyebut bila projek perintis, inisiatif oleh Kementerian Wilayah Persekutuan itu akan dimulakan.
Khairy berkata kementerian mensasarkan untuk menggunakan 30 pusat vaksinasi bergerak yang mana setiap trak akan membawa kira-kira 100 dos vaksin sehari.
Khairy bagaimanapun berkata kerajaan akan mempertimbangkan hasil dari projek perintis trak bergerak ini sebelum memutuskan apakah ia dapat dilakukan pada skala lebih besar.
Sementara itu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata hampir 3 juta dos vaksin diberikan sehingga semalam.
Beliau berkata sejumlah 1,860,864 individu menerima dos pertama vaksin mereka sementara 1,052,145 individu menyelesaikan kedua-dua dos tersebut menjadikan jumlah keseluruhan 2,913,009.
Katanya, setakat semalam jumlah pendaftaran vaksin adalah 12,117,091. – 31 Mei, 2021.
Komen