SEBANYAK 17 kluster baharu dikesan membabitkan tujuh kluster komuniti, enam kluster tempat kerja, dua kluster keagamaan dan masing-masing satu kluster pendidikan tinggi dan kumpulan berisiko tinggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya kluster komuniti melibatkan kluster Jalan Veterinari (Pulau Pinang), Kampung Tanjong Chenok (Kelantan), Taman Wahyu (Kelantan), Jalan Sri Putri 11 (Johor), Gerigat (Sarawak), Sungai Parik (Sarawak) dan Sungai Ular (Terengganu).
Kluster tempat kerja pula ialah Jalan Kasuarina (Selangor), Balakong Batu Dua Belas (Selangor), Perindustrian Batu Caves (Kuala Lumpur), Taman Industri Pelabuhan (Perak), Lorong Jelawat Dua (Pulau Pinang) dan Industri Dioh (Negeri Sembilan).
Dua kluster keagamaan melibatkan kluster Kampung Pagi (Pahang) dan Jalan Laksamana Tiga (Johor).
Sementara kluster pendidikan tinggi melibatkan Kolej Bunga Raya (Kuala Lumpur) dan kluster kumpulan berisiko ialah Desa Melawati (Kuala Lumpur).
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) yang terkini ialah 1.16 dan jumlah kes dilaporkan saban hari mulai menunjukkan tren kenaikan mendadak secara eksponential.
Beliau berkata jumlah katil di ICU, hospital-hospital Covid-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 semakin berkurangan dan berkemungkinan tidak mampu menerima penambahan pesakit.
“Ini adalah situasi sukar yang mendepani kita semua dan KKM ingin menyeru semua pihak agar kita sama-sama berganding bahu bagi hadapi (situasi) sekarang,” katanya. – Bernama, 30 Mei, 2021.
Komen