Hanya kerja pembinaan kritikal boleh, umum Menteri Kerja Raya


Semua kontraktor terlibat perlu mendapatkan kelulusan baharu menerusi laman web cims.cidb.gov.my untuk tempoh 1 hingga 14 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2021.

HANYA kerja-kerja pembinaan kritikal yang dibenarkan sepanjang fasa pertama perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan selama 14 hari bermula Selasa ini, kata Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.

Katanya, semua kerja lain harus diberhentikan kecuali yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia atau persekitaran sekiranya tidak diteruskan.

Antara kerja-kerja yang dianggap kritikal termasuk penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan awam serta pembersihan takungan dan penyemburan racun serangga.

Kerja pembaikan kediaman perseorangan dan naik taraf kemudahan di premis perkhidmatan kritikal juga boleh diteruskan.

Kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam utama dan kritikal seperti terowong, cerun, jambatan dan yang berkaitan elektrik, telekomunikasi dan pembentungan misalnya, juga dibenarkan.

Menurut Fadillah, semua kontraktor terlibat perlu mendapatkan kelulusan baharu menerusi CIMS CIDB (di laman web cims.cidb.gov.my) untuk tempoh 1 hingga 14 Jun.

“Kesemua  kelulusan sebelum ini tidak boleh diguna pakai dalam tempoh ini,” katanya.

Perincian syarat dan jenis kerja yang dibenarkan dinyatakan dengan jelas di dalam  Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Pembinaan yang boleh dimuat turun dari  www.cidb.gov.my.  

Sebarang pertanyaan mengenai operasi sektor pembinaan di sepanjang tempoh PKP  boleh diajukan kepada CIDB Careline di talian 03-5567 3300 (dari Isnin-Jumaat, 8.00 pagi hingga 5.30 petang).  – 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen