Bentuk pentadbiran ala Mageran tangani Covid-19, kata pakar ekonomi


Kerajaan perlukan sebuah pasukan pentadbiran baharu yang lebih kecil daripada Jemaah Menteri sekarang untuk menangani penularan pandemik Covid-19, kata ahli ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2021.

PUTRAJAYA perlukan sebuah pasukan pentadbiran baharu yang lebih kecil daripada Jemaah Menteri sekarang untuk menangani penularan pandemik Covid-19, kata ahli ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.

Beliau mencadangkan sebuah pasukan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dibentuk selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969.

“Pasukan yang baru, seperti Mageran, dan ahli-ahlinya harus diberi mandat yang jelas – tangani krisis kesihatan dan ekonomi, dan untuk memastikan ‘check and balance’, dan Parlimen harus dibuka untuk memastikan pentadbiran yang telus. 

“Apabila mandat ini berjaya kelak, pasukan ini harus dibubarkan serta merta,” katanya dalam satu tulisan di Sinar Harian.

Muhammed berpendapat apa yang Malaysia perlukan sekarang ialah “pasukan baru, yang bijak, berani, dan benar-benar sayang kepada rakyat dan negara.”

“Malangnya, pasukan yang ada ketika ini gagal mentadbir negara,” katanya, merujuk kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, jumlah kes positif Covid-19 sudah meningkat empat kali ganda sekarang berbanding ketika darurat diisytiharkan pada 12 Januari lalu.

“Bagaimana ini boleh dibiarkan berlaku, apabila kita diyakinkan berulang kali bahawa Parlimen digantung untuk mengurangkan kes dan jumlah kematian?” tanyanya.

Muhammed adalah bekas penasihat ekonomi kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam pentadbiran Pakatan Harapan.

Selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, pentadbiran Tunku Abdul Rahman membentuk Mageran yang dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri pada masa itu Abdul Razak Hussein.

Majlis itu mempunyai dua jawatankuasa yang menangani isu ekonomi dan perpaduan kaum. 

Jawatankuasa itu dianggotai pakar dari pelbagai latar belakang, aliran dan fahaman politik.

“Almarhum Tun Razak mengamalkan sikap terbuka dan inklusif. Ianya berbeza dengan pasukan sekarang yang mengamalkan sikap terpencil dan berselindung dengan kurang berunding bersama pimpinan masyarakat dan mereka yang pakar dalam menangani krisis ini,” katanya.

Daripada dua jawatankuasa itu, lahir antaranya Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rukun Negara yang sehingga hari ini menjadi dasar penting negara.

Dalam pada itu, Muhammed juga mencadangkan agar kerajaan harus memberi bantuan sepenuhnya kepada rakyat, terutamanya yang bekerja sendiri seperti peniaga kecil, syarikat kecil dan sederhana, serta golongan B40 dan M40.

“Saya ingin mencadangkan supaya semua pekerja sendiri dan isi rumah dalam golongan B40 dan M40 diberikan bantuan bulanan sebanyak RM1500 sebulan untuk tempoh 3 bulan,” katanya.

Beliau juga mencadangkan penangguhan bayaran balik pinjaman bank dan subsidi upah yang pernah diberikan tahun lalu juga diberikan sekali lagi untuk tempoh tiga bulan.

“Pinjaman daripada bank dan agensi kredit harus diberikan moratorium untuk tempoh 3 bulan, secara automatik,” katanya. – 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen