HANYA dua orang dari rumah yang sama dibenarkan bergerak dalam satu kereta untuk membeli barangan keperluan harian sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa satu, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan itu berkata pergerakan perjalanan akan dihadkan dalam lingkungan 10 kilometer dari kediaman masing-masing.
Katanya sekatan perjalanan akan dikecualikan bagi mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan.
Ismail Sabri berkata peraturan ini bukan perkara baharu tetapi hampir sama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
Ismail Sabri berkata kerajaan membenarkan maksimum tiga orang sahaja
termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan.
Katanya radius yang dibenarkan bagi tujuan itu tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius 10 kilometer dari kediaman.
Bagi perkhidmatan e-hailing, Bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang sahaja termasuk pemandu dan penumpang disyaratkan untuk duduk kerusi penumpang bahagian belakang.
Ismail Sabri berkata pengecualian diberikan kepada wakil rakyat untuk menjalankan kerja kesukarelawan di kawasan masing-masing seperti menyediakan makanan dan barangan keperluan asas.
Namun katanya setiap wakil rakyat perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata kelulusan polis diperlukan bagi mereka yang mahu melakukan urusan kematian atau bencana alam.
Katanya polis akan memberi pengecualian bagi mereka yang perlu bergerak atas tujuan kecemasan.
Namun katanya polis perlu lebih tegas dan berhati-hati kerana banyak permohonan dibuat atas faktor kecemasan sejak kebelakangan ini.
Oleh itu, beliau meminta mereka yang mahu mendapatkan kebenaran polis untuk bergerak atas faktor kecemasan agar bercakap benar dan tidak berbohong. – 30 Mei, 2021.
Komen