Lebih 3,900 individu terlibat PKPD di Sabak Bernam


Kawad duri sepanjang empat kilometer dipasang di kawasan PKPD dan mempunyai hanya satu laluan sebagai pintu utama yang digunakan untuk kawalan keselamatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2021.

KIRA-KIRA lebih 3,900 individu terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, di sini yang berkuatkuasa selama dua minggu bermula hari ini.

Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail berkata, secara keseluruhan terdapat 876 isi rumah yang majoritinya dalam kalangan kakitangan kerajaan dari hospital, institusi pendidikan dan pejabat tanah, dalam kawasan PKPD tersebut.

“Sehingga semalam, kes positif Covid-19 yang dicatatkan adalah sebanyak 135 kes dari 2,538 ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan di ketiga-tiga taman tersebut setakat ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, satu kematian dicatatkan melibatkan seorang warga emas berumur 74 tahun yang mempunyai komplikasi kencing manis dan darah tinggi.

Bagi pelaksanaan PKPD katanya, kawad duri sepanjang empat kilometer dipasang di kawasan tersebut dan mempunyai hanya satu laluan sebagai pintu utama yang digunakan untuk kawalan keselamatan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menyasarkan untuk melakukan 1,500 lagi ujian saringan dalam waktu terdekat, dan membuka dua pusat ujian saringan iaitu di Surau Taman Pertama dan Padang Taman Serendah.

Amri berkata, agensi terlibat bagi pelaksanaan PKPD tersebut adalah Polis Diraja Malaysia yang dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam. – 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen