Sebar mesej tolak vaksin kesalahan hasutan, kata Takiyuddin


Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan berkata tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani golongan penghasut antivaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2021.

MEREKA yang menyebarkan fahaman antivaksin boleh didakwa atas kesalahan menghasut di bawah Akta Hasutan 1948, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

Katanya, tidak perlu peraturan atau undang-undang baru atau untuk kesalahan itu kerana undang-undang sedia sudah memadai untuk menangani mereka.

“Selain Akta Hasutan, kita juga mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang di bawah Ordinan Darurat 2021.

“Kita tidak perlukan undang-undang baharu, boleh guna undang-undang sedia ada,” katanya, seperti dipetik BH di Kota Bharu.

Mengulas pula cadangan kompaun terhadap mereka yang gagal menghadiri temu janji untuk divaksin Covid-19, Takiyuddin berkata beliau yakin perkara itu sedang diteliti oleh pihak berkenaan.

“Ada jawatankuasa mengenai vaksin, itu saya tidak boleh komen tetapi terpulang kepada mereka (jawatankuasa),” katanya, seperti dipetik oleh Bernama.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba kelmarin berkata cadangan kompaun dan penalti terhadap individu yang tidak menghadiri janji temu untuk divaksin dibincangkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) serta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Bagaimanapun katanya langkah itu akan jadi usaha akhir selepas pendekatan sukarela yang dibuat sekarang dilaksanakan sepenuhnya.

Media minggu ini melaporkan lebih 52,000 orang tidak hadir untuk menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) di tujuh negeri dengan pelbagai alasan.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan antara alasan itu termasuk kebimbangan tidak dapat mengerjakan ibadat haji atau umrah di Mekah selepas pihak berkuasa Arab Saudi menetapkan beberapa jenis vaksin kecuali Sinovac.

Kelantan adalah antara negeri yang merekodkan lebih 10,000 orang tidak hadir ke PPV biarpun sudah mendapat temu janji untuk disuntik vaksin.

Sultan Kelantan juga kelmarin bertitah melarang mana-mana pendakwah atau penceramah agama daripada menyampaikan kuliah yang bertentangan dengan dasar kerajaan berhubung penularan Covid-19.

Selain kedudukan vaksin, antara isu yang disentuh oleh sesetengah penceramah ini termasuk mempertikaikan penjarakan fizikal solat berjemaah yang tidak merapatkan saf. – 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen