Iswardy Morni disiasat ikut Akta Hasutan, kata Hamzah Zainuddin


Iswardy Morni ditahan malam tadi oleh polis untuk membantu siasatan berhubung kenyataannya dalam satu siaran video secara langsung di YouTube.– Gambar Youtube, 30 Mei, 2021.

MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mengesahkan ahli PKR Iswardy Morni disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, pihak kementerian memandang serius perbuatan itu dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghina dan mempersenda Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.

“Perbuatan tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab tersebut adalah satu jenayah yang boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam,” kata Hamzah dalam satu kenyataan.

Iswardy ditahan oleh polis malam tadi susulan kenyataannya dalam satu siaran video secara langsung di YouTube pada Jumaat.

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata perbuatan Iswardy tidak mewakili parti, malah sudah sejak April memberi amaran keras termasuk tindakan pecat kepadanya.

Iswardy adalah anggota biasa PKR cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam pimpinan negeri mahupun pusat.

Hamzah menjelaskan Iswardy ditahan mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 11 Akta Hasutan yang membenarkan polis menggeledah premis dengan waran dan seterusnya menahan tanpa waran.

“KDN meminta pihak polis untuk memantau serta mengambil tindakan lebih tegas dan pantas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan seperti ini,” tambahnya.

Tindakan itu perlu demi memastikan institusi diraja, kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam kekal terpelihara, katanya. – 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen