Khairy janji lebih banyak vaksin Covid-19 untuk Selangor


Elill Easwaran

Lebih banyak vaksin akan disediakan untuk Selangor bagi mengatasi lonjakan kes Covid-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2021.

KERAJAAN Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan Selangor untuk menyediakan lebih banyak dos vaksinasi Covid-19 di negeri ini untuk mengatasi lonjakan kes, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata bahawa beliau sudah berbincang dengan menteri besar Selangor mengenai isu tersebut.

“Kami akan mengeluarkan kenyataan bersama hari ini,” katanya hari ini dalam sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Beliau berada di sana bagi menyaksikan proses suntikan vaksin.

Beliau juga berkata bahawa kenyataan bersama itu akan merangkumi masalah pendaftaran vaksin AstraZeneca awal minggu lalu.

Khairy juga berkata bahawa lebih banyak pusat vaksinasi akan ditambah di Lembah Klang mulai 7 Jun.

“Di Selangor kami akan menambah tiga pusat vaksinasi: pusat konvensyen Mines, UiTM Puncak Alam dan Pusat Konvensyen Setia City.

“Di Kuala Lumpur, dua lagi akan ditambah: pusat konvensyen KLCC dan tempat letak kereta Stadium Bukit Jalil,” kata Khairy.

Beliau juga berkata pada minggu depan beliau akan ke Pulau Pinang dan ke Johor bagi membincangkan pembukaan lebih banyak pusat di negeri-negeri berkenaan.

Semalam Malaysia menyaksikan sejumlah 9,020 kes baharu Covid-19. Selangor melaporkan 2,836 kes, paling tertinggi di antara semua negeri. – 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen