KEPUTUSAN kerajaan melaksanakan sekatan penuh tepat pada masanya kerana akan mengurangkan tekanan dan beban pada sistem kesihatan negara, kata Mohamad Hassan.
Bagaimanapun timbalan presiden Umno itu menyatakan kebimbangannya mengenai kemapanan sistem kesihatan negara dengan mengatakan bahawa pertempuran dengan pandemic Covid-19 akan menjadi sukar.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mencadangkan beberapa strategi untuk memerangi keadaan tersebut termasuk agar kerajaan segera menyiapkan sistem kesihatan negara.
Beliau meminta agar jumlah unit rawatan rapi (ICU) digandakan segera dengan mengatakan “Field ICU” bukanlah penyelesaian jangka panjang.
“Pembinaan hospital khusus untuk kecemasan nasional wajar dipertimbangkan. Bina dengan segera dan sepantasnya. Gemblingkan keupayaan syarikat pembinaan terbaik negara untuk tugas patriotik ini.
“Belajarlah dari China. Sebaik pandemic ini dikesan, perkara pertama mereka lakukan ialah membina hospital dengan pantas.
“Jika itu dirasakan sukar, maka pertimbangkan ‘nasionalisasi’ beberapa hospital swasta atau apa jua faciliti yang boleh dijadikan hospital milikan Kerajaan dengan pantas,” katanya menerusi Facebook.
Tok Mat menambah bahawa mengupayakan sistem kesihatan termasuk menggandakan keperluan sumber, kerana beliau mendawa petugas barisan hadapan yang menangani situasi sejak Februari tahun lalu sudah kepenatan.
Kepakaran dan tenaga daripada pelbagai klinik swasta boleh ‘dipinjam’ semasa kecemasan ini.
“Manfaatkan lambakan graduan perubatan yang belum mendapat penempatan. Sukarelawan tanpa latar belakang kesihatan pula boleh melakukan pelbagai kerja pentadbiran dan lapangan.
“Keletihan tenaga hadapan kesihatan adalah nyata. Justeru, pengambilan pakar yang telah bersara, pakar ekspat serta kakitangan terlatih dari negara seperti Filipina mesti segera di pertimbangkan jika sumber dalaman adalah terhad,” katanya.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga berkata bahawa kebergantungan besar proses vaksinasi kepada pembekal luar juga membantutkan rancangan vaksinasi kebangsaan kerana bekalan yang lambat.
Beliau menambah bahawa kesediaan negara mesti mengambil kira ancaman dari semua varian baharu yang pelbagai.
Beliau berkata orang ramai tidak boleh menganggap sekatan penuh akan mengurangkan jumlah jangkitan.
Beliau berkata ada ada kecenderungan kes meningkat apabila sektor ekonomi dibuka.
“Ramai orang melihat ‘total lockdown’ akan mengurangkan jumlah jangkitan namun kebolehjangkitan boleh menaik semula jika pembukaan pelbagai sektor ekonomi nanti berlaku,” katanya. – 30 Mei, 2021.
Komen