AKTIVIS hak asasi manusia memberitahu Putrajaya agar tidak menggunakan sekatan pergerakan penuh seluruh negara untuk menahan pendatang asing tanpa izin.
Mereka merujuk kepada beberapa kejadian tahun sebelum ini yang menunjukkan bahaya untuk meletakkan orang dalam tahanan ketika pandemik seperti kluster depoh tahanan imigresen tahun lalu.
Mereka mengatakan bahawa sebarang tindakan untuk menahan pendatang tanpa izin hanya akan menggagalkan hasrat untuk mengimunisasi kumpulan berkenaan.
Semalam Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menjalankan operasi untuk menahan pendatang asing tanpa dokumen perjalanan yang sah ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang akan berkuatkuasa pada Selasa.
Menurutnya JIM akan menjalankan operasi bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis, dan menambah Jabatan Penjara sedia untuk menyediakan pusat tahanan kepada pendatang yang ditahan.
“Betul sebelum ini penjara kita mencapai kapasiti maksimum. Namun kini kita sudah bersedia. Kita sudah sediakan penjara dan pusat tahanan.
“Sekiranya masih ada yang berdegil, maksud saya pendatang asing, kita akan tahan mereka,” kata Hamzah.
Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata mengumpul pendatang tanpa dokumen perjalanan yang sah adalah tidak berperikemanusiaan.
“Ini akan menyumbang kepada peningkatan kes. Ini akan meningkatkan beban terhadap sistem kesihatan kita yang sudah kritikal,” katanya merujuk kepada jumlah kluster depoh tahanan tahun lalu.
“Kita berdepan dengan situasi pandemik yang serius di negara ini dan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan program imunisasi kebangsaan kepada semua, namun Kementerian Dalam Negeri merosakkannya dengan menjalankan operasi,” katanya.
Pengasas Beyond Border Malaysia Mahi Ramakrishnan berkata kerajaan sebaliknya perlu memfokuskan kepada proses vaksinasi untuk semua termasuk pelarian, pekerja asing dan golongan yang tidak mempunyai kerakyatan. – 30 Mei, 2021.
Berita penuh di sini
Komen