Tentera Colombia perketat kawalan di Cali


Penunjuk perasaan antikerajaan bertempur dengan pasukan polis di bandaraya Cali, Colombia.– Gambar EPA, 30 Mei, 2021.

TENTERA Colombia memperketatkan kawalan keselamatan di Cali, yang merupakan bandar ketiga terbesar di negara itu, selepas tunjuk perasaan antikerajaan menyebabkan 13 orang maut.

Sebahagian besar jalan raya utama di bandar berkenaan lengang selepas pertempuran antara polis dan orang awam bersenjata. Bantahan terhadap kerajaan yang diterajui Presiden Ivan Duque itu kini memasuki bulan kedua. 

Suasana di bandaraya Cali yang mempunyai 2.2 juta penduduk dilihat masih huru-hara. Kemiskinan dan pandemik mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

Tunjuk perasaan yang berlarutan sejak sebulan lalu di seluruh negara itu mengorbankan 59 nyawa, termasuk 13 orang di Cali. Menurut Kementerian Pertahanan lebih 2,300 orang awam dan anggota beruniform cedera.

Menurut laporan NGO Pemerhati Hak Asasi Manusia, sekurang-kurangnya 63 orang maut di seluruh negara. Situasi di Cali dianggap sebagai sangat serius. 

Kes kematian di Cali turut melibatkan petugas pejabat pendakwa raya yang melepaskan tembakan ke arah dua penunjuk perasaan menyebabkan salah seorang daripada mereka maut.

Video yang viral di media sosial memaparkan petugas berkenaan dibelasah oleh sekumpulan penunjuk perasaan. 

Duque yang berada di Cali sejak Jumaat berkata beliau mengerahkan pasukan tentera untuk menyokong polis di bandaraya itu. 

Kira-kira 7,000 anggota tentera dihantar ke bandaraya berkenaan bagi membantu mengalihkan sekatan jalan dan melakukan kawalan keselamatan. – AFP, 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen