Virus kanin di Sarawak tidak berbahaya, kata pakar


Desmond Davidson

Koronavirus kanin merupakan perkara biasa yang berlaku dalam haiwan terutamanya binatang peliharaan seperti anjing dan kucing. – Gambar Facebook, 30 Mei, 2021.

 
TIADA penyakit daripada koronovirus yang berjangkit dari haiwan kepada manusia dalam tempoh beberapa tahun lalu di Sarawak, kata seorang pakar virologi.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) David Perera berkata rakyat tidak perlu bimbang tentang jangkitan koronavirus dari haiwan kepada manusia.

Katanya koronavirus kanin merupakan perkara biasa yang berlaku dalam haiwan terutamanya binatang peliharaan seperti anjing dan kucing.

Jelasnya bukan perkara baharu jika virus haiwan itu berjangkit kepada manusia.

Namun katanya perkara yang mencetuskan kebimbangan adalah jika virus yang berjangkit itu boleh membawa maut.

“Namun kajian menunjukkan masih belum ada bukti sama ada virus itu boleh berjangkit dari manusia ke manusia sehingga boleh mencetuskan penyakit kepada manusia. Kajian lebih lanjut diperlukan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas satu laporan kajian yang disiarkan minggu lepas sehingga mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen.

Kajian itu dilakukan oleh penyelidik dari Universiti Ohio, Universiti Duke, Akademi Perubatan Sains China, Hospital Sibu dan Universiti Segi.

Mereka menemukan koronavirus baharu selepas menguji sampel ujian saringan daripada 301 pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat penyakit radang paru-paru di Hospital Sibu dari 2017 hingga 2018.

Lapan sampel itu positif koronavirus kanin dan kebanyakan mereka adalah kanak-kanak.

Selain pesakit berusia 37 tahun, selebihnya berusia antara lima bulan hingga empat tahun.

Mereka berasal dari Sibu, Bintulu, Dar0 dan Julau, dan pulih semula selepas enam hari dirawat di hospital.

Penyelidik menggelar virus itu sebagai CcoV-HuPn-2018 dan berbeza daripada SARS-CoV-2, virus yang lebih dikenali sebagai Covid-19.

Perera berkata beliau tidak terkejut dengan laporan itu kerana mengetahuinya dengan lebih awal tentang kajian tersebut.

“Saya kenal penulisnya (laporan itu). Ia tidak mengejutkan.”

Namun beliau mempersoalkan waktu laporan itu disiarkan.

“Agak sensasi,” katanya sambil menambah tindakan penyelidik itu mungkin mahu meraih publisiti daripada situasi pandemik yang sedang melanda seluruh dunia.

“Anda tahu ia boleh mendapat perhatian orang ramai apabila membaca tentang virus kanin yang menjangkiti manusia sewaktu pandemik Covid-19 ini.”

Perera berkata virus kanin boleh dirawat kerana ada vaksin yang dijual di kedai haiwan. – 30 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen