Vietnam kesan varian baharu Covid-19


Vietnam kesan satu lagi varian baharu Covid-19 yang berkembang daripada gabungan varian India dan UK. – Gambar EPA, 29 Mei, 2021.

VIETNAM mengesan satu lagi varian baharu Covid-19 yang berkembang daripada gabungan varian India dan United Kingdom (UK), lapor media.

Menteri Kesihatan Vietnam Nguyen Thanh Long berkata penjujukan genetik daripada beberapa pesakit Covid-19 di republik itu menunjukkan kehadiran satu varian baharu yang mempunyai ciri dua varian yang sedia diketahui itu.

Katanya, varian baharu itu adalah varian India dengan mutasi yang berasal daripada varian UK.

“Kementerian Kesihatan akan mengumumkan varian baharu virus korona ini dalam peta genom dunia,” kata Long, seperti dipetik VNE Express.

Varian baharu itu belum diberi nama, kata laporan itu.

Varian India dan UK dilaporkan lebih mudah tersebar berbanding varian asal Covid-19 yang menyerang dunia sejak akhir 2019.

Vietnam sedang mengharungi gelombang baharu Covid-19 sejak sebulan lalu, dengan 3,595 kes tempatan di seluruh republik daripada tujuh varian. – 29 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen