JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) perlu ada solusi untuk pelajar yang akan kembali ke universiti di luar negara, kata wakil rakyat DAP Hannah Yeoh.
“Pelajar Malaysia yang belajar di luar negara akan perlu kembali ke universiti masing-masing, dalam keadaan bebas Covid-19 dan sudah divaksin.
“Tetapi tidak tahu bagaimana untuk buat permohonan atau prosesnya atau berapa lama perlu menunggu,” katanya yang juga ahli Parlimen Segambut di Twitter.
Memetik @JKJAVMY di Twitter, Yeoh meminta jawatankuasa itu menyediakan proses untuk kategori pelajar ini.
Pelajar di Amerika Syarikat (AS) @gc_sow berkata beliau sudah putus asa untuk menunggu mendapatkan vaksin di Malaysia.
“Sekarang saya terpaksa ke AS lebih awal untuk dikuarantin dan mendapatkan suntikan vaksin di sana.
“Saya ada kawan yang mungkin tidak dapat kembali pada semester ini kerana tidak sempat menerima dos kedua vaksin AstraZaneca,” katanya.
Seorang lagi pengguna Twitter, @Klvn_D berkata rakyat Malaysia yang hendak kembali bekerja ke luar negara juga tejejas sementara @arnikamollis menggesa JKJAV membantu pelajar luar negara.
“Suami saya pelajar (juga kakitangan awam) dan dijadualkan ke Jepun bulan depan. Tolong bantu dia dapatkan vaksin secepat mungkin. Dia tersangkut belajar secara online di Malaysia lebih setahun dan perlu menyiapkan projek sarjana di sana.”
Proses imunisasi sedang dijalankan untuk warga emas dan kumpulan berisiko tinggi untuk fasa dua program vaksinasi kebangsaan. – 29 Mei, 2021.
Komen