Beri pakej rangsangan RM45 bilion segera, gesa Guan Eng


Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menggesa Putrajaya merangka pakej bantuan kewangan baharu bernilai RM45 bilion untuk rakyat dan semua sektor ekonomi yang terjejas ekoran sekatan pergerakan penuh mulai Selasa ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2021.

PUTRAJAYA perlu segera merangka pakej bantuan kewangan baharu bernilai RM45 bilion untuk rakyat dan semua sektor ekonomi yang terjejas ekoran sekatan pergerakan penuh, kata Lim Guan Eng.

Bekas menteri kewangan berkata, sekatan pergerakan penuh mulai Selasa akan sama seperti Perintah Kawalan Pergerakan kali pertama pada Mac tahun lalu, yang akan menyebabkan kerugian dianggarkan sekitar RM2.4 bilion sehari.   

“Walaupun pakej bantuan kewangan bernilai RM45 bilion ini akan menyebabkan defisit belanjawan meningkat 3-4% lagi, suntikan dana langsung akan membantu menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim yang juga setiausaha agung DAP seterusnya berkata pakej bantuan kewangan bernilai RM45 bilion itu akan dapat bertahan sehingga akhir tahun apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selesai.

Pakej bantuan baharu itu perlu merangkumi kenaikan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk penganggur, yang akan menelan belanja RM7 bilion untuk baki 7 bulan tahun ini.

Kerajaan juga hendaklah mengembalikan moratorium pembayaran pinjaman bank kepada rakyat kecuali golongan 20% Teratas (T20). Insentif pengambilan pekerja juga perlu diteruskan untuk 2 tahun, tambahnya.

Selain itu, kata Lim, sebanyak RM3.5 bilion perlu diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan kapasiti dan kemampuan hospital untuk mengelakkan sistem penjagaan kesihatan awam runtuh.

Begitu juga RM28 bilion dalam bentuk geran kewangan; subsidi upah, sewa dan utiliti;  jaminan pinjaman dan pelanjutan kredit;  untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana, pembinaan, peruncitan dan industri pelancongan yang telah lumpuh, kata Lim. 

“Pakej bantuan kewangan awal bernilai RM45 bilion untuk ‘total lockdown’ PKP 3.0 ini tidak begitu besar jika dibandingkan dengan RM340 bilion yang telah dibelanjakan di bawah PKP 1.0 dan PKP 2.0. 

“Jumlah bantuan tambahan boleh ditambah kemudian, bergantung pada tempoh ‘total lockdown’, jika bantuan kewangan RM45 bilion ini didapati tidak mencukupi,” jelas ahli Parlimen Bagan itu.

Putrajaya semalam umum sekatan penuh ke atas semua kegiatan ekonomi dan sosial yang tidak perlu, sama seperti perintah PKP kali pertama pada Mac tahun lepas, berkuat kuasa antara 1 hingga 14 Jun.

Tempoh dua minggu itu adalah sekatan penuh fasa pertama, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam.

Sekatan fasa pertama itu akan dilonggarkan sekiranya ia berjaya mengurangkan kes harian, yang akan membuka beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Fasa kedua akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir.

Kejayaan fasa kedua pula akan membuka lebih banyak sektor ekonomi, seperti PKP yang sedang berjalan sejak 12 Mei lalu, katakenyataan itu lagi.

“Keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.

“Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19.”

Keputusan melaksanakan sekatan penuh dibuat ketika 8,290 kes baharu Covid-19 dicatatkan semalam, menjadikannya rekod kes harian tertinggi sejak kes pertama dikesan pada Januari 2020. – 29 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen