PENGAWAL selia perubatan Kesatuan Eropah (EU) semalam meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech diberi kepada kanak-kanak berusia 12 tahun hingga 15 tahun.
Pfizer-BioNTech vaksin pertama yang dibenarkan penggunaannya ke atas kanak-kanak di negara blok itu.
Agensi Perubatan Eropah (EMA) yang berpangkalan di Amsterdam itu berkata vaksin Pfizer-BioNTech didapati berfungsi dengan baik kepada penerima dalam kalangan remaja dan tiada kebimbangan serius mengenai kesan sampingan.
Kelulusan itu sekali gus merangsang program vaksinasi yang menyeluruh di Eropah, dengan Jerman akan mula memberikan suntikan itu kepada kanak-kanak berusia lebih 12 tahun mulai bulan depan.
Penggunaan vaksin Pfizer dalam kalangan remaja sebelum ini diluluskan di Amerika Syarikat dan Kanada.
“Seperti yang telah dijangkakan, Jawatankuasa EMA hari ini bersetuju memberi kelulusan penggunaan vaksin Pfizer/BioNTech pada remaja dari 12 hingga 15 tahun,” kata Ketua Strategi Vaksin EMA Marco Cavaleri pada sidang media semalam.
Setakat ini, EU hanya membenarkan vaksin yang dihasilkan syarikat gergasi farmasi AS Pfizer dan firma penyelidikan Jerman BioNTech itu diberi kepada individu berusia 16 tahun ke atas. – AFP, 29 Mei, 2021.
Komen