Kadar kebolehjangkitan Covid-19 naik kepada 1.15, kata KP Kesihatan


Data yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menunjukkan Melaka mencatat bacaan Rt tertinggi iaitu 1.32, diikuti Sabah 1.31. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2021.

KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di seluruh negara naik 0.01 mata semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Nilai Rt negara naik kepada 1.15 berbanding 1.14 yang direkodkan pada Khamis.

Data yang dikongsikan ketua pengarah kesihatan itu di Facebook hari ini menunjukkan Melaka mencatat bacaan Rt tertinggi iaitu 1.32, diikuti Sabah 1.31.

Semua negeri mencatat nilai Rt melebihi 1.0 kecuali Perlis dan Labuan.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Nilai Rt tertinggi direkodkan pada 23 Mei lalu iaitu 1.21.

Kementerian Kesihatan semalam melaporkan 8290 lagi kes baharu Covid-19, menjadikannya rekod tertinggi sejak awal tahun ini.

Semalam juga Pejabat Perdana Menteri umum sekatan penuh sama seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac tahun lalu, berkuat kuasa antara 1 hingga 14 Jun.

Perdana Menteri Muhyiddin berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19. – 29 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen