Pecat dan tahan Tajuddin bukan sebab politik, kata pemimpin Bersatu


Mohd Farhan Darwis

Khamis lalu, Tajuddin Abdul Rahman juga dipanggil untuk memberikan keterangan oleh pihak polis berkaitan kegagalan memakai pelitup muka pada sidang media berkaitan insiden perlanggaran dua tren LRT pada Isnin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2021.

PEMECATAN Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi bukan eksekutif Prasarana Malaysia Berhad dan siasatan oleh agensi anti rasuah terhadapnya bukan bermotifkan politik, kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’man.

Sebaliknya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menjalankan siasatan terhadap ahli Parlimen Pasir Salak itu sejak awal tahun ini, tambah beliau.

“Saya difahamkan siasatan terhadap kes salah guna kuasa melibatkan mantan pengerusi Prasarana itu telah pun dijalankan oleh pihak SPRM sejak bulan Januari tahun ini. 

“Jika benar, maka segala tindakan ke atas beliau bukanlah sesuatu yang terjadi secara tiba-tiba.

“Saya percaya SPRM bertindak dengan adil, tegas dan profesional, dari dahulu hingga kini,” katanya, kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Beliau mengulas spekulasi pemecatan Tajuddin daripada Prasarana pada Rabu dan penahanannya oleh SPRM pada Khamis ada kaitan dengan kritikan lantangnya terhadap Bersatu dan kerajaan Perikatan Nasional selama ini.

Segelintir pemimpin Umno mendakwa kerajaan PN pilih bulu dengan memecat Tajuddin sebaliknya mengekalkan anggota Kabinet, termasuk wakil rakyat Bersatu yang tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Tajuddin, yang juga anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno adalah antara pimpinan Umno yang kuat menyokong parti itu memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengarah pilihan raya Umno itu dilantik sebagai pengerusi Prasarana oleh perdana menteri pada Mei tahun lalu.

Bersatu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan tindakan Umno berhubung isu pemecatan Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi bukan eksekutif Prasarana Malaysia Berhad dan siasatan SPRM terhadapnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2021.

Tajuddin dipecat daripada jawatan berkenaan ketika beliau juga dikritik kerana didakwa gagal mengendalikan sidang media berkaitan insiden perlanggaran dua tren transit aliran ringan (LRT) pada Isnin dengan baik.

Prasarana adalah anak syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF) yang bertanggungjawab mengurus dan mengawal selia operasi pengangkutan awam di negara ini.

Pemecatan Tajuddin adalah atas arahan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Pada Khamis, Tajuddin juga dipanggil untuk memberikan keterangan oleh pihak polis berkaitan kegagalan memakai pelitup muka ketika sidang media itu.

Perkara itu adalah satu pelanggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Tajuddin hanya memakai pelindung muka ketika sidang media berkenaan.

Pada hari yang sama juga, beliau ditahan sebentar oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa. Tajuddin kemudiannya dibebaskan dengan jaminan khas.

Sumber berkata kepada The Malaysian Insight, penahannya itu dipercayai berkaitan pelantikan ahli keluarganya ke jawatan kanan di Prasarana.

Muhammad Faiz berkata, Bersatu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan tindakan Umno berhubung isu itu.

Katanya, ancaman Umno menarik sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga bukan perkara baru.

“Jika itu terjadi, maka Bersatu (PN) akan terus memantapkan jentera serta gerak kerja parti bagi menghadapi segala kemungkinan khususnya PRU. 

“Kerana ugutan dari sesetengah pihak dalam Umno terutama kluster mahkamah untuk menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan perdana menteri bukanlah sesuatu yang baru atau mengejutkan,” katanya.

Muhammad Faiz sebelum ini pernah bertelagah dengan pemimpin Umno kerana menggelar mereka “binatang politik”. – 29 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen