SEKATAN penuh tanpa saringan besar-besaran dan program vaksinasi yang lebih agresif tidak akan menurunkan jumlah kes Covid-19, kata ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.
“Sekatan penuh mesti dibuat bersama program saringan dan vaksinasi yang lebih intensif.
“Kerajaan seolah-olah hilang plot dan hanya melakukan sekatan penuh sementara saringan dan program vaksinasi dilupakan,” kata ahli Parlimen Amanah itu kepada The Malaysian Insight.
Khalid memberi maklum balas terhadap pengumuman dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tadi bahawa Malaysia akan diletakkan di bawah sekatan penuh dari 1 hingga 14 Jun kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan penting bagi memerangi kes Covid-19 yang semakin meningkat.
Sekatan penuh yang dilaksanakan sama seperti yang pertama dikenakan pada Mac tahun lalu dengan penutupan semua sektor dan perkhidmatan yang penting susulan kes Covid-19 mencapai tahap tertinggi dengan 8,290 kes hari ini selepas tiga hari 7,000 kes serta hampir seminggu 60 kematian setiap hari.
Sekatan penuh juga akan diadakan secara berperingkat di mana fasa kedua merangkumi tempoh empat minggu selepas sekatan dua minggu akan menyaksikan pembukaan semula beberapa sektor selain masih melarang perhimpunan besar-besaran diikuti fasa ketiga dengan lebih banyak sekatan dilonggarkan.
Khalid berkata penguatkuasaan semula sekatan lebih ketat seperti di bawah PKP pertama pada Mac 2020 adalah jalan keluar yang mudah dan bukannya penutupan bersasar.
“Saya gembira kerana kerajaan akhirnya menyedari betapa seriusnya keadaan dan (PKP 3.0) tidak akan menyelesaikan masalah.
“Saya rasa kerajaan mesti mempunyai strategi yang lebih luas dan apa yang dilakukan oleh Selangor harus dijadikan rujukan,” katanya. – 28 Mei, 2021.
Komen