8,290 lagi disahkan positif Covid-19, rekod baru harian tertinggi


Sebanyak 8,290 lagi kes jangkitan Covid-19 dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikannya rekod tertinggi harian di tengah gelombang ketiga wabak itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan mengesan 8,290 lagi kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikannya rekod tertinggi harian di tengah gelombang ketiga wabak sejak awal tahun ini.

Selangor masih lagi mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,052 kes baharu sementara lebih daripada 10 peratus kes baru masing-masing dikesan di Kuala Lumpur (830) dan Kelantan (851).

Dua negeri lain yang merekodkan kes harian tinggi ialah Johor (762) dan Sarawak (698), sementara negeri-negeri lain masing-masing mencatatkan kes tidak lebih 500.

Kes harian Covid-19 di seluruh negara sebelum ini melepasi 7,000 untuk tiga hari berturut-turut antara 25 hingga 27 Mei.

Pihak berkuasa kesihatan sebelum ini memberi bayangan Malaysia akan mencecah 10,000 kes baharu sehari selepas pelanggaran sekatan dan peraturan pencegahan Covid-19 dalam tempoh dua minggu ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei lalu.

Awal minggu ini Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya mengesan 12 kluster baharu jangkitan C0vid-19 dalam masa sehari, yang ada kaitan dengan ziarah hari raya, di tujuh negeri.

Putrajaya mengenakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara berkuat kuasa pada 12 Mei, sehari sebelum Aidilfitri.

Sekatan itu melarang aktiviti rentas negeri dan daerah serta ziarah hari raya, rumah terbuka dan ziarah kubur. – 28 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen