Pekerja rayu majikan benarkan bekerja dari rumah


Elill Easwaran

Data daripada KKM menunjukkan tempat kerja dilaporkan lebih banyak berlaku jangkitan dan penularan Covid-19 berbanding kluster lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2021.

SESETENGAH majikan masih memaksa pekerja datang ke pejabat walaupun arahan kerajaan untuk meningkatkan jumlah pekerja yang bekerja dari rumah sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Pekerja berkata rayuan mereka untuk bekerja dari rumah (BDR) tidak didengar, dan mereka bimbang terdedah kepada jangkitan Covid-19 yang kini menular dalam masyarakat.

“Apa yang saya buat di pejabat boleh disiapkan di rumah. Ia hanya draf, komunikasi sosial dan sebagainya,” kata seorang perancang strategik yang hanya mahu dikenali sebagai Rachel.

Rachel sama seperti pekerja lain yang ditemu bual tidak mahu memberi nama sebenar atau mendedahkan tempat kerja masing-masing kerana bimbang dikenakan tindakan.

Syarikat tempat Rachel bekerja mempunyai lebih 20 kakitangan dan kebanyakan masanya mereka diarah datang ke pejabat.

Katanya, majikannya tidak pasti sama ada kerja dapat disiapkan jika kakitangannya dibenakarn bekerja dari rumah.

Apa yang membimbangkan Rachel ialah beliau tinggal bersama ibu bapanya dan adik lelakinya, yang dijangkiti Covid-19 dua minggu lalu.

Katanya, majikan tidak membenarkan beliau melakukan kuarantin kendiri sepanjang 10 hari ketika adiknya disahkan positif Covid-19.

Seorang lagi pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Amanda, 35, berkata permohonannya untuk bekerja dari rumah ditolak oleh majikannya.

Pekerja berkata rayuan mereka untuk bekerja dari rumah tidak didengar, dan bimbang dengan jangkitan Covid-19 yang makin menular. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2021.

Pengurus sumber manusia itu berkata pejabat itu kecil, sukar untuk mengekalkan penjarakan sosial, terutama ketika mereka makan tengah hari di pejabat.

Pegawai pemasaran digital, Jason, 27, berkata beliau diarah datang ke pejabat walaupun pada Sabtu walaupun tidak ada aktiviti jualan.

“Falsafah majikan saya ialah – jika dia tidak nampak stafnya di pejabat, itu maknanya mereka tidak bekerja.

“Kami pekerja betul-betul tidak ada pilihan. Sama ada patuh arahan majikan atau hilang kerja,” katanya.

Jason berkata beliau ada memberi cadangan kepada majikannya untuk menyediakan struktur pentadbiran iaitu pasukan pengurusan bekerja dari rumah, sementara pasukan penerbitan pula bekerja di pejabat, tetapi saranan itu ditolak.

Katanya, baru-baru ini ada kes Covid-19 membabitkan kerani tetapi pengurusan pejabat mendiamkan erkara itu dan membiarkan pekerja bekerja seperti biasa tanpa mengarahkan kuarantin kendiri.

Putrajaya mengumumkan bermula 25 Mei, 80% penjawat awam perlu bekerja dari rumah. Bagi sektor swasta, 40% kakitangan boleh bekerja dari rumah.

Arahan baharu itu membabitkan 750,000 penjawat awam dan 6.1 juta kakitangan sektor swasta.

Data rasmi menunjukkan lebih 50% kluster Covid-19 di Malaysia sejak bermulanya pandemik ini, ada kaitan dengan tempat kerja.

Angka daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan tempat kerja dilaporkan lebih banyak jangkitan berbanding kluster lain.

Setakat 18 Mei, sebanyak 1,011 kluster tempat kerja dikesan dengan 124,614 individu disahkan positif. Dalam tempoh enam hari, 51 lagi kluster tempat kerja dikesan. – 28 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen