MALAYSIA mencatatkan 1,085 kluster tempat kerja Covid-19 yang menyaksikan sejumlah 129,322 kes antara 25 Januari dan 26 Mei, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata tiga negeri yang melaporkan jumlah kluster tempat kerja tertinggi dalam tempoh tersebut adalah Selangor dengan 74 kluster, Johor (53) dan Pulau Pinang (31).
“Dari 1 April sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 287 kluster tempat kerja dilaporkan dengan 17,087 kes.
“Dari jumlah itu, 233 kluster tempat kerja ini masih aktif, melibatkan 16,785 kes aktif,” katanya.
Beliau berkata, analisis terperinci mengenai sub-kategori tempat kerja mendapati bahawa sektor pembuatan melaporkan jumlah kluster yang paling tinggi berbanding sub-kategori lain iaitu 132 kluster dalam tempoh sama.
Ini katanya diikuti oleh sektor perkhidmatan yang melaporkan 57 kluster.
“Oleh itu KKM menyambut baik inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memperkenalkan SOP baharu yang dikenali sebagai Safe @ Work bagi menyeimbangkan kesinambungan operasi pembuatan.
“SOP ini merangkumi penubuhan pasukan kecemasan Covid-19 oleh syarikat, pembersihan premis secara berkala dan memastikan penginapan selesa untuk pekerja,” katanya.
Beliau juga menasihati semua majikan untuk memastikan mereka mengikuti SOP di tempat kerja dan kemudahan pekerja.
Pekerja juga harus mematuhi SOP dengan menjaga keselamatan diri, memakai topeng, tidak berbual dalam jarak dekat, menjaga kebersihan ruang makan atau kemudahan bersama dan memantau gejala.
“Pekerja mesti memberitahu majikan dengan segera sekiranya ada simptom. Elakkan bekerja untuk mengurangkan risiko menyebarkan penyakit dan segera menjalani pemeriksaan,” tambah Noor Hisham. – 27 Mei, 2021.
Komen